Penduduk rayu longkang diselenggara, bimbang banjir berulang
Foto : Azlina menunjukkan parit yang tidak diselenggara menyebabkan banjir apabila berlaku hujan lebat berlaku.
Penduduk rayu longkang diselenggara, bimbang banjir berulang
JERANTUT – Penduduk lima rumah dan sebuah surau di Kampung Seri Kool, Jalan Jerantut–Temerloh, di sini merayu pihak berkuasa segera menyelenggara sistem perparitan yang didakwa menjadi punca kawasan berkenaan sering dilanda banjir ketika hujan lebat.
Seorang penduduk, Azlina Dollah, 66, berkata setiap kali hujan berterusan, jalan masuk ke rumahnya akan dinaiki air sehingga kira-kira satu meter berikutan aliran parit berhampiran tidak lancar akibat saliran dan pembetong tersumbat.
Menurutnya, rumah yang didiaminya sejak 2002 pernah dilanda banjir besar pada 2014 sehingga paras air mencecah bumbung, selain menjejaskan beberapa kediaman lain dan sebuah surau.
“Dua kereta saya turut tenggelam ketika itu dan saya tidak menerima sebarang bantuan bagi menampung kerugian. Saya tidak mahu kejadian sama berulang.
“Banjir yang berlaku bukan disebabkan limpahan sungai, sebaliknya sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan aliran air tersekat,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, kira-kira tiga tahun lalu, dia terpaksa membelanjakan hampir RM10,000 untuk meninggikan jalan masuk ke rumah sehingga satu meter supaya kenderaan dapat dibawa keluar ketika berlaku banjir.
“Saya terpaksa menggunakan wang sendiri kerana tiada pilihan. Yang penting, jalan masuk ke rumah tidak terputus apabila hujan lebat,” katanya.
Azlina turut melahirkan kebimbangan terhadap operasi sebuah bengkel jentera berat berhampiran rumahnya yang didakwa menyalurkan air ke sistem saliran sedia ada.
Katanya, keadaan itu dikhuatiri menyebabkan pencemaran minyak hitam ke dalam longkang dan berisiko menjejaskan penduduk sekiranya air banjir memasuki rumah.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan segera membersihkan longkang, menyelenggara pembetong serta menaik taraf sistem saliran bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.
“Saya sudah banyak kali membuat aduan sejak banjir 2014, namun sehingga kini masalah ini masih belum ada penyelesaian. Sebenarnya, ia boleh diatasi jika longkang dibersihkan dan sistem saliran diselenggara dengan baik,” katanya.-SAHIH.
