Pahang sasar 15.5 juta pelawat, ANGKASA pacu pelancongan koperasi Asia Pasifik
Pahang sasar 15.5 juta pelawat, ANGKASA pacu pelancongan koperasi Asia Pasifik
JERANTUT: Pahang menyasarkan ketibaan 15.5 juta pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan pelancongan koperasi dilihat sebagai antara pemangkin baharu bagi merancakkan ekonomi pelancongan negeri menerusi kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.
Usaha itu diperkukuhkan apabila Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menganjurkan ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism yang menghimpunkan 25 delegasi koperasi dari tujuh negara Asia Pasifik bagi meneroka potensi pelancongan
berasaskan koperasi dan komuniti.
Program berlangsung dari 22 hingga 26 Julai itu disertai delegasi dari Filipina, India, Indonesia, Jepun, Kemboja, Palestin dan Vietnam, sekali gus memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa serta membuka peluang pembangunan ekonomi komuniti melalui sektor pelancongan.
Majlis perasmian disempurnakan Pengurus Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang merangkap wakil Menteri Besar Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Amizar berkata, program itu selari dengan aspirasi VM2026 dan diyakini mampu mengangkat Pahang sebagai destinasi pelancongan koperasi bertaraf antarabangsa, selain memperkukuhkan penyertaan komuniti tempatan dalam industri pelancongan.

Katanya, Pahang merekodkan 15.28 juta ketibaan pelancong pada 2025 dengan hasil pelancongan dianggarkan RM13.72 bilion, sekali gus membuktikan sektor itu terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negeri.
“Bagi menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, Pahang menyasarkan 15.5 juta pelawat menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk penganjuran program antarabangsa seperti ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism,” katanya.
Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pelancongan koperasi bukan sekadar menawarkan pengalaman kepada pelawat, malah membuka ruang kepada koperasi memperluaskan rangkaian perniagaan, mempromosikan produk tempatan dan memperkukuhkan kerjasama Cooperative-to-Cooperative (C2C) di rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata, pendekatan itu mampu menghubungkan koperasi rentas sempadan melalui pembangunan pakej pelancongan bersama, pemasaran produk tempatan serta perkongsian kepakaran yang memberi manfaat ekonomi lebih mampan kepada komuniti.
Menurutnya, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2025 menunjukkan terdapat 16,484 koperasi berdaftar dengan lebih 7.3 juta anggota, manakala nilai syer dan yuran anggota mencecah RM168 bilion, sekali gus membuktikan gerakan koperasi kekal menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi negara.-SAHIH
