KUSKOP Perkukuh Strategi Pembangunan Koperasi
KUSKOP perkukuh sinergi agensi pacu pembangunan koperasi
SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh penyelarasan antara agensi di bawah kementerian menerusi penganjuran Sesi Libat Urus bersama Pengarah-Pengarah Agensi KUSKOP Negeri Sembilan bagi memastikan agenda pembangunan gerakan koperasi dan keusahawanan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Sesi yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan di sini pada Rabu dipengerusikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata, sesi libat urus itu menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama strategik, menyelaras pelaksanaan program serta memperkemas penyampaian pelbagai inisiatif kerajaan kepada komuniti usahawan dan koperasi di negeri berkenaan.
Menurutnya, setiap agensi di bawah KUSKOP perlu bergerak secara seiring dan saling melengkapi supaya segala dasar serta program yang dirancang mampu memberi impak lebih besar kepada rakyat.
“Kerjasama erat antara semua agensi amat penting bagi memastikan pembangunan gerakan koperasi terus diperkasakan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah turut hadir mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Perbincangan turut memberi fokus kepada usaha mengenal pasti cabaran semasa yang dihadapi agensi, memperkemas pelaksanaan program pembangunan serta memperkukuh sinergi strategik bagi memastikan manfaat inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh dan efektif.
KUSKOP turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan ANGKASA, SKM serta semua agensi berkaitan dalam memperkukuh ekosistem gerakan koperasi yang mampan dan berdaya saing.
Melalui sesi itu, hubungan strategik antara KUSKOP, ANGKASA dan agensi-agensi di bawah kementerian terus diperkasakan sebagai usaha menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan daya saing sektor koperasi di peringkat negeri dan nasional.
Turut hadir Pengarah SKM Negeri Sembilan, Radiatul Fitri Dollah dan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd. Latif.-SAHIH
