Remaja ‘serbu’ masjid, 1,200 sertai Briskwalk Jengka
Remaja ‘serbu’ masjid, 1,200 sertai Briskwalk Jengka
JENGKA: Program Briskwalk Keluarga Rakan Muda Aktif Masjid Bilangan 3 Peringkat Daerah Jengka mencipta rekod tersendiri apabila menarik penyertaan 1,200 peserta, jauh mengatasi sasaran awal 800 orang, sekali gus membuktikan program masjid semakin dekat di hati generasi muda.
Program bermula seawal 5.40 pagi di Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Bandar Jengka, dengan solat Subuh berjemaah sebelum diteruskan dengan kuliah Subuh.
Aktiviti seterusnya diadakan di dataran masjid membabitkan sesi taklimat keselamatan serta senaman regangan sebelum Briskwalk dilepaskan pada jam 7.30 pagi.
Peserta kemudian menikmati sarapan pagi sambil menantikan pelancaran Kelab Rakan Muda Aktif Masjid Jengka 2025 yang turut berlangsung dalam program berkenaan.

Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka, Tuan Nik Ibrahim Nik Abdullah, berkata penganjuran aktiviti berbentuk riadah dan kerohanian itu adalah usaha mendekatkan remaja kepada institusi masjid.
Beliau berkata, masjid perlu terus dimakmurkan dengan penglibatan anak muda yang menjadi pewaris kepimpinan ummah pada masa hadapan.

“Kita mahu remaja menjadikan masjid sebagai pusat pembelajaran, pembangunan sahsiah dan aktiviti manfaat. Program sebegini memupuk kecintaan mereka kepada rumah Allah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Tuan Haji Razak Daud, berkata pendaftaran program meningkat mendadak sehingga memaksa penganjur menghadkan penyertaan pada angka 1,200 sahaja.
Menurutnya, sambutan itu sangat menggalakkan dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita hanya sasarkan 800 peserta, tetapi bila dibuka pendaftaran terus naik ke 1,200. Kita hentikan pada jumlah itu demi kelancaran. Lebih istimewa, 31 peserta Orang Asli Jahut turut menyertai program ini,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan antaranya Datuk Sri Dr Ismail Mohamed Said, Datuk Khairun Nisa’ Aris, Pegawai Daerah Maran, Tarmizi Lee (Pengarah Felda Wilayah Jengka) serta Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai.
Program bertambah meriah dengan 100 cabutan bertuah, termasuk seekor lembu sebagai hadiah utama yang menjadi tumpuan peserta.
Program anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Jengka itu dijangka diteruskan sebagai acara tahunan bagi menggalakkan masyarakat, khususnya golongan muda, mendekati masjid melalui aktiviti sihat, dinamis dan bernilai kerohanian.-SAHIH
