TIDAK DIBENARKAN KE PULAU TIOMAN
TIDAK DIBENARKAN KE PULAU TIOMAN
KUANTAN: Polis Pahang akan mempertingkatkan kawalan di pusat pelancongan yang menjadi tumpuan di negeri itu agar pengusaha pelancongan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang wabak covid-19.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagaimanapun pihak polis masih menunggu SOP lengkap yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia.
Beliau berkata, SOP tersebut turut mengambil kira bagaimana kaedah merentas daerah dan kaedah menggunakan kenderaan pelancong.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan
“Polis masih menunggu kaedah SOP yang akan dikeluarkan Tourism negeri, bagaimana kaedah rentas daerah untuk meningkatkan aktiviti pelancongan.
“Contoh setakat yang kita tahu secara asasnya, pelancong ini datang secara dalam kumpulan yang diusahakan oleh agensi-agensi.
“Mereka akan dibawa menaiki kenderaan seperti bas dan mengambil pelancong di pusat pengumpulan sebelum di bawa ke lokasi pelancongan.
“Namun, SOP yang lengkap polis masih menunggu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 40 buah Kenderaan Pasukan Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, pelancong ketika ini tidak dibenarkan melancong ke Pulau Tioman sehingga 29 Mac susulan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD) di pusat peranginan itu.
Pada minggu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran merentas negeri hanya untuk pelancongan domestik yang melibatkan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.
Bagaimanapun, hanya kenderaan pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dibenarkan manakala penggunaan kenderaan persendirian masih dilarang.