Tiada nyawa patut melayang di jalan raya
Tiada nyawa patut melayang di jalan raya
KELANA JAYA: Tiada kematian akibat nahas jalan raya perlu dijadikan sasaran utama dalam membentuk budaya pemanduan lebih selamat, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal yang terdedah kepada risiko kecederaan serius.
Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, pendekatan Vision Zero menekankan bahawa kesilapan manusia di jalan raya tidak seharusnya berakhir dengan kehilangan nyawa.
“Prinsip utamanya adalah tiada kematian akibat kecelakaan lalu lintas. Justeru, sistem jalan harus dirancang supaya kesalahan manusia tidak berakhir dengan kematian.
“Keselamatan pengguna jalan raya perlu menjadi keutamaan termasuk pejalan kaki dan penunggang motosikal,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) ANGKASA berkata demikian ketika merasmikan Kursus Keselamatan Pemanduan Motosikal Berhemah Bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Wisma Ungku A. Aziz, di sini, pada 15 September lalu.
Kursus sehari anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Pengurusan Aset ANGKASA itu disertai 200 kakitangan bagi meningkatkan kesedaran mengenai amalan pemanduan selamat serta pematuhan peraturan jalan raya.
Menurut Abdul Rahman, konsep Vision Zero mula diperkenalkan di Sweden pada 1997 sebelum dipraktikkan di banyak negara sebagai pendekatan mengurangkan kematian dan kecederaan serius akibat nahas jalan raya.
Katanya, tanggungjawab keselamatan tidak hanya terletak kepada pemandu atau pengguna jalan raya, malah turut membabitkan kerajaan menerusi penyediaan infrastruktur, penguatkuasaan undang-undang serta penggunaan teknologi kenderaan bagi mengurangkan risiko.
Sementara itu, Pegawai Keselamatan Perjalanan PERKESO, Mohd Tarmizi Marzuki turut menyampaikan taklimat berkaitan pemanduan berhemah, undang-undang jalan raya, tuntutan PERKESO serta latihan praktikal pemanduan selamat.-SAHIH
#kw ANGKASA, Vision Zero, PERKESO, keselamatan jalan raya
