Malaysia buru kekal suara dalam kepimpinan ICA
Malaysia buru kekal suara dalam kepimpinan ICA
PANAMA CITY: Malaysia meneruskan usaha mempertahankan kedudukannya dalam barisan kepimpinan tertinggi gerakan koperasi dunia menerusi pencalonan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah sebagai Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) bagi penggal baharu.
Perkara itu menjadi antara fokus menjelang Perhimpunan Agung ICA dan proses pemilihan kepimpinan badan berkenaan yang berlangsung pada 15 September 2026.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail sebelum itu menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah ICA di Panama pada 14 September lalu bersempena ICA Global Conference and General Assemblies 2026.
Mesyuarat dipengerusikan Presiden ICA, Dr Ariel Guarco dengan beberapa agenda utama dibincangkan termasuk kelulusan agenda mesyuarat serta pengesahan draf minit Mesyuarat Lembaga secara dalam talian pada 5 Ogos lalu.
Turut dibentangkan ialah Laporan Jawatankuasa Pemilihan ICA oleh pengerusinya, Blase Lambert, selain persiapan akhir bagi Perhimpunan Agung ICA.
Laporan Jawatankuasa Pemilihan menjadi antara agenda utama berikutan ia membabitkan persiapan serta tatacara proses pemilihan barisan kepimpinan ICA untuk penggal baharu.
Mesyuarat sama turut meneliti agenda dan notis panggilan Perhimpunan Agung ICA termasuk beberapa permohonan berkaitan hak mengundi serta pengecualian hak mengundi oleh anggota ICA.
Dalam pemilihan kali ini, Malaysia diwakili ANGKASA menerusi pencalonan Abdul Fattah dalam usaha memastikan negara terus mempunyai suara dalam Lembaga ICA.
Pencalonan itu juga meneruskan kesinambungan penglibatan Malaysia dalam barisan kepimpinan badan koperasi antarabangsa berkenaan selepas Kamarudin menyandang kerusi Ahli Lembaga ICA bagi penggal 2022 hingga 2026.-SAHIH
#kw ANGKASA, ICA, Abdul Fattah, koperasi dunia
