Suara rakyat, industri bentuk Belanjawan 2027
Suara rakyat, industri bentuk Belanjawan 2027
PUTRAJAYA: Kerajaan mahu memastikan Belanjawan 2027 bukan sekadar dirangka di meja perbincangan, sebaliknya mengambil kira suara rakyat dan keperluan sebenar industri menerusi siri jelajah serta sesi libat urus di seluruh negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) turun ke beberapa negeri termasuk Sabah, Pulau Pinang dan Perak bagi mendapatkan pandangan secara langsung daripada pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti perniagaan serta masyarakat.
Menurutnya, maklum balas yang diterima akan diperhalusi bagi memastikan Belanjawan 2027 mampu menangani cabaran semasa selain memperkukuh sektor ekonomi strategik negara.
Antara sektor yang menjadi perhatian termasuk semikonduktor, peranti perubatan serta industri bernilai tinggi yang mempunyai potensi besar meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Siri jelajah itu juga membolehkan kerajaan memahami cabaran berbeza di setiap negeri sebelum menentukan bentuk bantuan, insentif atau dasar yang sesuai untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
Di Sabah, sesi libat urus antara lain memberi perhatian kepada potensi ekonomi biru termasuk sektor perikanan, akuakultur, aktiviti hiliran, logistik dan rantaian sejuk.
Sementara itu, lawatan ke Perak turut memberi ruang kepada pemain industri automotif tempatan dan antarabangsa berkongsi pandangan berkaitan produktiviti, penggunaan teknologi, nilai tambah domestik dan daya saing industri.
Pendekatan libat urus secara menyeluruh itu bertujuan memastikan pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan sektor ekonomi dapat diterjemahkan kepada perancangan kewangan negara yang lebih berkesan.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti dan pembangunan sektor strategik termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa.
Semua input yang diterima sepanjang siri jelajah akan diteliti sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan bagi memastikan pembangunan ekonomi negara dilaksanakan secara lebih seimbang, inklusif dan memberi manfaat kepada rakyat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Belanjawan 2027, Amir Hamzah, Kementerian Kewangan, ekonomi
