Anwar curi tumpuan nyanyi lagu klasik Kishore Kumar
Anwar curi tumpuan nyanyi lagu klasik Kishore Kumar
INDIA : Persembahan spontan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanyikan lagu klasik penyanyi legenda India, Kishore Kumar bersama pemain piano M. Rehman mencuri perhatian apabila rakamannya tular di media sosial.
Momen berkenaan berlangsung ketika Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS, sekali gus memperlihatkan sisi santai Anwar menerusi muzik yang turut menjadi jambatan hubungan budaya antara Malaysia dan India.
Rakaman persembahan itu setakat ini meraih lebih 1.4 juta tontonan dan menerima perhatian ramai pengguna media sosial.
Rehman sebelum itu dikatakan membuat persediaan khusus menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri dengan mempelajari beberapa lagu Hindi yang menjadi kegemaran Anwar.
Persediaan berkenaan membuahkan hasil apabila kedua-duanya dapat berkongsi pentas secara spontan menerusi sebuah lagu klasik Kishore Kumar.
Anwar yang sememangnya diketahui meminati lagu Hindi kemudian menyertai persembahan berkenaan sambil diiringi petikan piano Rehman.
Momen itu bukan sekadar menjadi hiburan di tengah-tengah jadual padat sidang antarabangsa berkenaan, malah turut mewujudkan hubungan mesra menerusi muzik antara dua negara.
Persembahan tersebut mendapat sambutan hangat dalam kalangan warganet, khususnya peminat muzik India yang teruja melihat pemimpin Malaysia mendendangkan karya klasik Bollywood.
Interaksi Anwar dan Rehman turut menyerlahkan bagaimana muzik mampu menjadi medium diplomasi budaya yang merentas bahasa serta sempadan negara.
Klip berkenaan terus dikongsi di pelbagai platform media sosial, sekali gus menjadikan persembahan santai Perdana Menteri itu antara momen yang mendapat perhatian sepanjang sidang berkenaan.
#kw Anwar Ibrahim, Kishore Kumar, M Rehman, BRICS
