SPRM Pertimbang Guna Pakar Forensik Luar Negara Siasat Isu Tabung Haji
SPRM Pertimbang Guna Pakar Forensik Luar Negara Siasat Isu Tabung Haji
PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat pakar forensik luar negara bagi membantu siasatan berhubung penemuan yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan yang dijalankan melibatkan pelbagai aspek termasuk pelaburan, dokumentasi perjanjian dan kontrak yang memerlukan penelitian forensik secara terperinci.
Menurutnya, siasatan itu turut membabitkan semakan terhadap minit mesyuarat serta pelbagai dokumen berkaitan keputusan pelaburan yang dibuat sebelum ini.
Beliau berkata, jumlah dokumen yang perlu diteliti adalah sangat banyak dan memerlukan kepakaran khusus bagi memastikan setiap bukti dapat dianalisis secara menyeluruh.
“Kami masih lagi berbincang di peringkat jabatan dan peringkat tertinggi mengenai cadangan melantik pakar forensik dari luar negara bagi membantu pihak kami melakukan siasatan secara forensik terhadap dokumentasi serta bahan bukti yang diperoleh.
“Perbincangan itu turut mengambil kira kos yang terlibat dalam mendapatkan kepakaran berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abd Halim berkata, sehingga kini SPRM telah membuka 14 kertas siasatan berkaitan isu berkenaan dan melaksanakan beberapa tindakan operasi termasuk tangkapan, reman serta siasatan lanjut.
Katanya, siasatan itu turut membabitkan pemeriksaan dan penggeledahan di 28 premis yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Menurut beliau, seramai 115 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan di pejabat SPRM di seluruh negara bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, tujuh individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan daripada jumlah itu, lima orang telah direman untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan SPRM komited menjalankan siasatan secara profesional, telus dan bebas tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak yang terbabit bagi memastikan sebarang salah laku dapat dibawa ke muka pengadilan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
