JPJ Laksana Sistem Integrasi Laporan Kesihatan Pemandu
JPJ Laksana Sistem Integrasi Laporan Kesihatan Pemandu
Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini melaksanakan sistem integrasi laporan pemeriksaan kesihatan pemandu secara dalam talian bagi memastikan ketelusan serta memudahkan proses pembaharuan lesen memandu, khususnya lesen vokasional.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem baharu itu dibangunkan melalui kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan panel klinik yang dilantik bagi membolehkan laporan kesihatan pemandu disemak secara terus menerusi platform bersepadu.
Menurutnya, sistem berkenaan diintegrasikan dengan aplikasi MySikap JPJ bagi memastikan maklumat pemeriksaan kesihatan direkodkan secara lebih sistematik dan telus.
“Kita bekerjasama dengan pihak PERKESO dan juga MMA untuk mengenal pasti panel klinik-klinik kesihatan menggunakan satu sistem dalam talian.
“Maksudnya apabila doktor memeriksa kesihatan seseorang pemandu itu, mereka akan memasukkan dapatan atau keputusan pemeriksaan ke dalam sistem tersebut dan ia akan diintegrasikan dengan MySikap,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang turut diserikan dengan sambutan Hari Kebangsaan peringkat kementerian di sini, hari ini.
Anthony Loke berkata, melalui sistem itu, pegawai JPJ dapat mengakses laporan kesihatan yang telah dimasukkan oleh doktor apabila pemandu hadir untuk memperbaharui lesen mereka.
Katanya, langkah itu bukan sahaja memudahkan urusan pembaharuan lesen, malah dapat mengurangkan birokrasi dan risiko pemalsuan dokumen kesihatan.
“Apabila mereka datang untuk memperbaharui lesen, kita sudah mempunyai laporan kesihatan mereka yang direkodkan dalam sistem.
“Ini akan mempercepatkan proses semakan selain memastikan hanya pemandu yang memenuhi syarat kesihatan ditetapkan dibenarkan meneruskan lesen masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu juga membolehkan kerajaan memantau tahap kesihatan pemandu dengan lebih berkesan sekali gus meningkatkan aspek keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada masalah kesihatan pemandu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
