SPRM Belum Temui Unsur Rasuah Dalam Siasatan Pelaburan KWAP
SPRM Belum Temui Unsur Rasuah Dalam Siasatan Pelaburan KWAP
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum menemukan sebarang unsur rasuah atau penyelewengan dalam siasatan berhubung pelaburan melibatkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan masih berjalan dan hasil penuh hanya dapat diperoleh selepas pihaknya menerima maklumat serta dokumen kewangan daripada beberapa institusi perbankan luar negara.
Menurutnya, antara negara yang terbabit dalam proses mendapatkan maklumat berkenaan ialah Singapura dan Indonesia.
“Di dalam menjalankan siasatan kes ini, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan kerana kami mendapati belum ada keperluan untuk melakukan tangkapan.

“Namun begitu, proses siasatan masih lagi berjalan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pasukan penyiasat masih berusaha mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi yang telah dikenal pasti berada di luar negara bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, proses mendapatkan maklumat daripada pihak luar negara tidak berdepan sebarang masalah, namun memerlukan sedikit masa berikutan prosedur tertentu yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terbabit.
“Siasatan ini akan mengambil sedikit masa, namun dari segi siasatan domestik ia tidak menjadi masalah dan berjalan seperti biasa,” katanya.
Abd Halim berkata, sehingga kini seramai 19 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mereka terdiri daripada pegawai KWAP, Kementerian Kewangan Malaysia dan Khazanah Nasional Berhad yang mempunyai kaitan dengan urusan pelaburan yang sedang disiasat.
Beliau berkata, semua individu berkenaan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses rakaman percakapan dijalankan.
Katanya, SPRM komited menjalankan siasatan secara profesional dan bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak bagi memastikan setiap aspek berkaitan pelaburan berkenaan diteliti secara menyeluruh.
“Setiap maklumat dan dokumen yang diperoleh akan dianalisis sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung tindakan lanjut dalam kes ini,” katanya.-SAHIH
Sumber: BERNAMA
