Polis Buka Kertas Siasatan Dakwaan Babitkan PKNPk
Polis Buka Kertas Siasatan Dakwaan Babitkan PKNPk
IPOH : Polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran pelbagai dakwaan membabitkan pengurusan serta individu tertentu yang dikaitkan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pihak yang terbabit dalam penyebaran dakwaan berkenaan menerusi media sosial.
“Setakat ini siasatan masih dijalankan dan kita sedang berusaha mengesan pihak yang terbabit.
“Bagi platform TikTok, kita masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.
Menurutnya, setakat ini polis masih belum merakam percakapan mana-mana saksi berhubung kes berkenaan dan siasatan masih berada di peringkat awal.
Beliau turut memaklumkan bahawa polis tidak menerima sebarang laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seperti yang tular di media sosial.
Semalam, PKNPk dilaporkan membuat laporan polis dan aduan kepada MCMC berhubung penyebaran pelbagai dakwaan terhadap perbadanan itu, pengurusannya serta individu tertentu yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.
Dalam satu kenyataan, PKNPk memaklumkan pihaknya mengambil maklum beberapa hantaran menerusi laman Facebook yang sejak kebelakangan ini berterusan menyiarkan pelbagai tuduhan serius terhadap perbadanan itu dan pengurusannya.
Menurut kenyataan itu, dakwaan yang disebarkan didakwa tidak berasaskan fakta yang dapat disahkan serta berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti PKNPk serta pihak yang terbabit.
PKNPk turut menyatakan penyebaran dakwaan sedemikian boleh mengganggu keyakinan pelabur, pihak berkepentingan dan masyarakat umum terhadap peranan serta fungsi perbadanan berkenaan.
