Siasatan TH Boleh Melangkaui Tempoh RCI – Anwar
Siasatan TH Boleh Melangkaui Tempoh RCI – Anwar
PUTRAJAYA: Siasatan berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak terhad kepada tempoh yang ditetapkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sebaliknya boleh merangkumi tempoh sebelum dan selepasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada halangan kepada badan penguatkuasaan dan penyiasatan untuk menjalankan siasatan melangkaui tempoh yang menjadi fokus RCI berkenaan.
Menurutnya, RCI menjadi asas atau induk kepada penelitian yang dijalankan, namun ia tidak bermakna skop siasatan pihak berkuasa hanya tertumpu kepada tempoh tertentu.
“Memang sekarang ini semua tindakan itu dan tindakan kajian (siasatan), semua melangkaui RCI. RCI itu sebagai induk dia.
“Tak ada halangan kaji sebelum dan selepas dan ini yang dilakukan oleh badan penguatkuasaan dan penyiasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Konsultasi Libat Urus Belanjawan 2027 di sini.
Anwar menjelaskan, pihak berkuasa mempunyai ruang untuk meneliti sebarang perkara berkaitan sekiranya terdapat keperluan meneruskan siasatan di luar tempoh yang terkandung dalam laporan RCI.
Pendekatan itu membolehkan siasatan dilakukan secara lebih menyeluruh tanpa terikat semata-mata kepada tahun yang ditetapkan dalam skop asal suruhanjaya berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan digesa supaya memperluaskan tempoh siasatan berkaitan RCI TH sehingga merangkumi tahun 2021 hingga 2026.
Desakan itu dibuat supaya penelitian berhubung pengurusan TH tidak hanya tertumpu kepada tempoh 2014 hingga 2020, sebaliknya mengambil kira perkembangan serta perkara berkaitan yang berlaku selepas tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan mekanisme siasatan sedia ada membolehkan badan berkaitan menjalankan penelitian sebelum atau selepas tempoh RCI sekiranya diperlukan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw
#AnwarIbrahim #TabungHaji #TH #RCITabungHaji #RCI #Putrajaya #SiasatanTabungHaji #PerdanaMenteri #Belanjawan2027 #KerajaanMalaysia
