Dr Awaludin Dilantik Yang Dipertua DUN Ke-16
Dr Awaludin Dilantik Yang Dipertua DUN Ke-16
SEREMBAN: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-16 pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-16 di Wisma Negeri, hari ini.
Pelantikan itu dibuat selepas usul pencalonannya dikemukakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Faizal Ramli.
Dr Awaludin, 66, kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan Setiausaha DUN, Mohd Amin Ludin sebelum memulakan tugas rasmi mempengerusikan persidangan.
Ketika berucap, beliau mengingatkan semua ADUN supaya meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.
“Pilihan raya telah berlalu, kini tiba masanya untuk kita bersama-sama melangkah ke hadapan dan menumpukan segala usaha kepada amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
Dr Awaludin bukanlah wajah baharu dalam institusi legislatif negeri apabila pernah memegang jawatan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan bagi penggal 2013 hingga 2018.
Pada persidangan sama, seramai 35 daripada 36 ADUN mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat bagi penggal baharu.
Mereka terdiri daripada 25 ADUN blok kerajaan, iaitu 18 wakil Barisan Nasional (BN) dan tujuh daripada Pakatan Harapan (PH), manakala 11 lagi ADUN mewakili blok pembangkang.
ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar tidak hadir pada persidangan berkenaan kerana urusan rasmi dan dijadual mengangkat sumpah pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Persidangan itu turut melantik ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw
#NegeriSembilan #DUNNegeriSembilan #DrAwaludinSaid #YangDipertuaDUN #Seremban #AminuddinHarun #UMNO #BarisanNasional #PakatanHarapan #PolitikMalaysia #ADUN #WismaNegeri #BeritaPolitik #HarianMetro
