KPM Atasi Isu Kekurangan Padang Sekolah
KPM Atasi Isu Kekurangan Padang Sekolah
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang menyediakan sekurang-kurangnya satu kompleks padang lengkap yang boleh digunakan secara bersama oleh sekolah dalam setiap zon pendidikan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, inisiatif itu bertujuan mengatasi kekurangan kemudahan sukan terutama di kawasan bandar dan padat penduduk yang berdepan kekangan ruang untuk membina padang sendiri.
Menurutnya, penyediaan kompleks padang berpusat itu juga mampu memastikan murid terus mempunyai peluang mengembangkan bakat dan potensi dalam bidang sukan serta permainan.
“Kita merancang supaya setiap zon mempunyai sekurang-kurangnya satu padang lengkap sebagai kompleks sukan yang boleh digunakan secara bersama oleh sekolah berhampiran.
“Pendekatan ini membolehkan kemudahan sukan dimanfaatkan secara optimum tanpa setiap sekolah perlu mempunyai padang sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bas sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di sini, hari ini.
Dr Mohd Azam berkata, keperluan terhadap kemudahan sukan semakin mencabar terutama di kawasan bandar apabila ruang sedia ada sering terhad dan perlu digunakan bagi pembangunan infrastruktur pendidikan lain.
Katanya, pendekatan perkongsian kemudahan itu dapat memberi akses lebih luas kepada murid untuk menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum secara lebih terancang.
Pada masa sama, KPM turut mempertimbangkan penyediaan dewan terbuka di sekolah yang tidak mempunyai padang bagi membolehkan pelaksanaan aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum.
Selain itu, kemudahan sukan yang terdapat di institusi pendidikan lain termasuk kolej vokasional juga boleh dimanfaatkan secara guna sama oleh sekolah berhampiran.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan komitmen KPM untuk memastikan pembangunan pendidikan yang seimbang antara pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah murid melalui penglibatan aktif dalam bidang sukan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw
#KPM #PendidikanMalaysia #DatukDrMohdAzamAhmad #PadangSekolah #KompleksSukan #SukanSekolah #Kokurikulum #SekolahBandar #KemudahanSukan #KotaBharu #Kelantan #BeritaPendidikan #HarianMetro #TVET #MuridMalaysia
