Belanjawan 2027 Perlu Seimbang Kemajuan Teknologi, Isu Rakyat
Belanjawan 2027 Perlu Seimbang Kemajuan Teknologi, Isu Rakyat
PUTRAJAYA: Belanjawan 2027 perlu mengimbangi usaha melonjakkan ekonomi berteraskan teknologi dengan keperluan menangani isu asas rakyat termasuk kemiskinan, jurang pendapatan dan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu terus memacu perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta sektor elektrik dan elektronik (E&E), namun kemajuan itu tidak boleh menyebabkan permasalahan rakyat terpinggir.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia perlu mempercepat penerapan AI, pendigitalan dan teknologi baharu bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam persaingan ekonomi global.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan pada masa sama perlu memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan.
“Mengapa dialog ini penting? Kerana kita dengar pandangan-pandangan yang pelbagai. Tetapi dialog belanjawan itu bukan hanya berhasil kalau kita lihat pertamanya dari segi kerangka makro.
“Kita tidak boleh menuntut untuk satu jabatan atau kementerian itu atau satu persatuan tanpa mengetahui sebenarnya apa kekangan, apa yang mampu kita lakukan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konsultasi Libat Urus Belanjawan 2027 di sini.
Anwar berkata, pendidikan dan pencerahan mengenai kekuatan ekonomi juga penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai ruang kewangan untuk menambah peruntukan kepada rakyat.
Menurutnya, kekuatan ekonomi perlu disokong tadbir urus yang bersih dan telus bagi mengurangkan ketirisan serta memastikan setiap peruntukan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan.
Katanya, kerajaan juga akan terus memperkukuh bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk orang kurang upaya (OKU).
Mengikut takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) dijadual dibentangkan pada 9 Oktober ini.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw
#Belanjawan2027 #AnwarIbrahim #EkonomiMalaysia #KecerdasanBuatan #AI #Pendigitalan #KosSaraHidup #Kemiskinan #JurangPendapatan #TadbirUrus #Pelaburan #OKU #Putrajaya
