Pasport Malaysia Keempat Dunia, Akses 174 Destinasi
Pasport Malaysia Keempat Dunia, Akses 174 Destinasi
KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia kini menduduki tempat keempat dunia dengan pemegangnya boleh mengakses 174 destinasi tanpa perlu mendapatkan visa tradisional terlebih dahulu, menurut laporan terbaharu Passport Reports.
Berdasarkan data platform bebas yang menerbitkan laporan pasport bagi 199 negara dalam 34 bahasa itu, Malaysia mencatat Skor Mobiliti 174 dengan kadar akses global 87.9 peratus.
Daripada jumlah itu, rakyat Malaysia boleh memasuki 121 destinasi tanpa visa, 45 destinasi melalui visa semasa ketibaan atau prosedur kemasukan dipermudah, manakala lapan lagi menggunakan Kebenaran Perjalanan Elektronik (eTA) atau sistem digital setara.
Hanya 24 destinasi dilaporkan memerlukan visa atau kelulusan awal sebelum perjalanan.
Antara destinasi tanpa visa ialah Jerman, Perancis, Itali, Sepanyol, Switzerland, Jepun, China, Singapura, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Brazil, Argentina, Mexico dan Afrika Selatan.
Laporan itu turut meletakkan pasport Malaysia di kedudukan ketiga terkuat dalam kalangan 50 negara Asia selain kedua dalam ASEAN.
Malaysia juga berada di tempat kedua daripada 21 ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Di Eropah, sebanyak 43 daripada 47 destinasi boleh dimasuki tanpa visa, manakala United Kingdom menggunakan sistem kebenaran perjalanan elektronik.
Akses rakyat Malaysia ke negara Teluk turut dilaporkan tinggi apabila kesemua enam negara boleh dikunjungi tanpa visa tradisional yang perlu diperoleh terlebih dahulu.
UAE menawarkan kemasukan tanpa visa manakala Bahrain, Qatar, Kuwait, Arab Saudi dan Oman berada dalam kategori visa semasa ketibaan atau kemasukan dipermudah.
Dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia berada di kedudukan kedua, selain turut menduduki tempat kedua dalam kalangan negara Komanwel.
Laporan itu turut meletakkan Malaysia di tempat ke-30 daripada 199 negara dalam indeks keterbukaan, yang mengukur kemudahan pemegang pasport asing memasuki negara ini.
Secara keseluruhan, laporan berkenaan menunjukkan pasport Malaysia kekal antara pasport dengan tahap mobiliti antarabangsa tertinggi, terutama bagi perjalanan ke Asia, Eropah dan negara serantau.-SAHIH
#kw
#PasportMalaysia #PassportMalaysia #RankingPasport #Malaysia #VisaFree #TanpaVisa #SkorMobiliti #ASEAN #Asia #APEC #OIC #Komanwel #Pelancongan #Perjalanan
