Siang urus sekolah, malam siapkan tesis, tiga sahabat genggam PhD
Siang urus sekolah, malam siapkan tesis, tiga sahabat genggam PhD
KUALA NERUS: Kesibukan mengurus sekolah dan mendidik murid bukan penghalang buat tiga sahabat yang juga guru besar apabila berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh dua tahun sembilan bulan.
Lebih membanggakan, ketiga-tiganya menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Kepimpinan Pendidikan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menggunakan perbelanjaan sendiri.
Mereka ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas, Dr Mohd Johari Jusoh; Guru Besar SK Gong Badak, Dr Norazura Tahir dan Guru Besar SK Kompleks Tembesu, Dr Shamsida@Suriyam Hamzah.
Mohd Johari berkata, tuntutan dunia pendidikan yang semakin mencabar mendorongnya meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi memastikan murid menerima pendidikan berkualiti.
“Selepas COVID-19 berlaku, pemimpin pendidikan perlu mempunyai kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-18 UniSZA, di sini, Ahad lalu.
Menurutnya, kejayaan berkenaan diharap menjadi penyuntik semangat kepada guru lain untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing.
Sementara itu, Shamsida@Suriyam berkata, mereka bertiga mula memasang impian melanjutkan pengajian PhD selepas menamatkan pengajian sarjana pada 2021.
Katanya, keputusan menyambung pengajian pada 2023 akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menamatkannya mengikut tempoh ditetapkan tanpa penangguhan.
Beliau berharap ilmu diperoleh dapat dimanfaatkan dalam pentadbiran sekolah, selain menjadi inspirasi kepada guru dan murid supaya berani mengejar cita-cita.
Bagi Norazura pula, kejayaan itu bukan sesuatu yang mudah kerana terpaksa membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai guru besar, keluarga dan pengajian.
“Bukan mudah, ia adalah satu perjalanan yang penuh dengan duri dan onak ranjau.
“Saya didorong oleh suami, rakan-rakan dan pensyarah yang banyak membantu merealisasikan impian ini,” katanya.
Norazura turut menyimpan hasrat menjadi pensyarah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan bakal pendidik.
Terdahulu, seramai 3,688 graduan menerima ijazah doktor falsafah, sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen UniSZA yang berlangsung selama empat hari bermula Ahad.-SAHIH
#GuruBesar #PhD #UniSZA #Pendidikan
