Ada anak, cucu ramai pun warga emas boleh kesunyian – Hannah
Ada anak, cucu ramai pun warga emas boleh kesunyian – Hannah
PUTRAJAYA: Memiliki anak dan cucu yang ramai bukan jaminan seseorang warga emas tidak berdepan kesunyian, terutama apabila ahli keluarga masing-masing sibuk dengan urusan harian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, masalah kesunyian dalam kalangan warga emas perlu diberi perhatian serius kerana golongan itu berisiko terpinggir daripada kehidupan sosial, selain terdedah kepada ancaman jenayah penipuan.
Katanya, pendekatan sedia ada perlu diubah dengan mengambil kira keperluan warga emas yang tinggal bersendirian, kehilangan pasangan hidup atau terlantar akibat masalah kesihatan.
“Ramai anak, ramai cucu mungkin lebih sunyi kerana semua orang sibuk dengan jadual masing-masing.
“Jadi, kita kena fikirkan bagaimana hendak mendekati mereka dan merancang program yang dapat membantu golongan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Warga Emas Wilayah Persekutuan peringkat Putrajaya, di sini, Ahad lalu.
Hannah berkata, program untuk warga emas juga tidak sepatutnya tertumpu kepada aktiviti fizikal seperti senamrobik dan berjalan pantas semata-mata.
Menurutnya, perbezaan usia dan tahap kesihatan perlu diambil kira supaya aktiviti dianjurkan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.
“Warga emas berusia 60 tahun dan 80 tahun mempunyai keperluan sangat berbeza.
“Yang berusia 60 tahun mungkin mampu berjalan pantas sejauh 10 kilometer, tetapi mereka berusia 80 tahun mungkin sukar berjalan 100 meter.
“Kalau kita hanya buat program yang mudah dianjurkan tetapi susah untuk mereka sertai, keperluan sebenar golongan ini tidak dapat dipenuhi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pusat komuniti dan rumah ibadah memainkan peranan lebih aktif mendekati warga emas, khususnya mereka yang kehilangan pasangan hidup.
Katanya, usaha berkenaan perlu diperluas kepada individu yang tidak mampu menghadiri aktiviti di Pusat Aktiviti Warga Emas supaya mereka tidak terus terpinggir.
Hannah turut menyatakan komitmen menyokong Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memperkasakan kebajikan golongan rentan termasuk warga emas.-SAHIH
#WargaEmas #Kesunyian #HannahYeoh #KebajikanWargaEmas
