Pusat Literasi Felda Jengka 24 beroperasi lebih 30 tahun, bantu kanak-kanak sebelum masuk tadika
Pusat Literasi Felda Jengka 24 beroperasi lebih 30 tahun, bantu kanak-kanak sebelum masuk tadika
JERANTUT: Pusat Literasi (Lestari) yang beroperasi di Felda Jengka 24 sejak lebih 30 tahun lalu terus menjadi platform penting dalam membantu perkembangan awal kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan, khususnya tadika.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pusat berkenaan diwujudkan sebagai pusat penjagaan dan pembelajaran awal untuk kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah.
Menurutnya, program yang dijalankan memberi pendedahan asas pembelajaran bersesuaian bagi memastikan kanak-kanak lebih bersedia apabila memasuki tadika kelak.
“Tujuan utama pusat ini ialah membantu anak-anak yang dihantar supaya mereka didedahkan dengan pembelajaran awal.
“Apabila mereka masuk tadika nanti, mereka tidak akan menangis atau kekok kerana sudah biasa dengan suasana pembelajaran,” katanya.
Razak berkata, pusat berkenaan berbeza dengan pusat asuhan atau tadika lain kerana tidak menerima peruntukan khusus daripada mana-mana kementerian.
Katanya, operasi pusat itu adalah inisiatif Felda sendiri tanpa peruntukan tetap, namun ia tetap diteruskan dari tahun ke tahun kerana manfaatnya kepada komuniti setempat.

Bagaimanapun, beliau mengakui pihak pengurusan bimbang jumlah kemasukan kanak-kanak akan berkurangan susulan penurunan kadar kelahiran bayi dalam kalangan penduduk Felda.
“Kita berharap generasi baharu yang tinggal di sini akan terus menghantar anak-anak mereka ke pusat ini supaya operasi tidak terpaksa ditutup,” katanya.
Razak berkata, pusat berkenaan turut menjalani beberapa kerja ubah suai termasuk penambahbaikan ruang belajar dan kawasan permainan selepas menerima bantuan sebelum ini.
Menurutnya, pusat itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan dua guru bertugas sepenuh masa.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tampil memberi sumbangan bagi memastikan pusat itu dapat terus berfungsi walaupun tanpa peruntukan rasmi.-SAHIH
