Pahang catat skor tertinggi IPNas 2025, bukti perpaduan terus kukuh
Pahang catat skor tertinggi IPNas 2025, bukti perpaduan terus kukuh
LIPIS – Pahang mencatat skor tertinggi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 dengan 0.817, sekali gus diiktiraf sebagai antara negeri paling harmoni di Malaysia.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan perpaduan rakyat negeri ini yang terus diperkukuh melalui pelbagai dasar serta pendekatan pembangunan inklusif.
Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal dan pelaburan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada kekuatan nilai, budaya dan identiti rakyat.
“Pembangunan tanpa jati diri bukanlah kejayaan sebenar. Kemajuan tanpa nilai hanya melahirkan generasi yang kosong jiwanya,” katanya ketika merasmikan Program Apresiasi Pahang 1st: Lipis Bertanjak 2.0 di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, program berkenaan bukan sekadar acara kebudayaan, malah menjadi simbol maruah dan jati diri Melayu yang perlu terus dipelihara serta dihayati, khususnya oleh generasi muda.
Katanya, elemen tradisi seperti seni silat, gendang ketawak, tarian dan busana Melayu bukan sahaja warisan, tetapi turut menjadi asas penting dalam pembentukan identiti dan kekuatan budaya bangsa.
“Kita mahu budaya ini terus hidup dalam masyarakat, bukan hanya dipersembahkan dalam majlis tertentu,”katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Majlis Kebudayaan Negeri Pahang bersama PESAKA Pahang akan memperluaskan Program Bertanjak ke seluruh 11 daerah dengan peruntukan RM1 juta.
Wan Rosdy berkata, peruntukan tersebut merupakan pelaburan penting dalam usaha memperkukuh jati diri, perpaduan serta semangat cintakan warisan dalam kalangan rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap cabaran ekonomi semasa termasuk peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pengagihan bakul makanan mingguan di semua 42 Dewan Undangan Negeri (DUN), pelaksanaan bekerja dari rumah bagi penjawat awam negeri, pengagihan baucar bantuan rakyat serta penerusan Inisiatif Makmur Pahang dengan peruntukan RM84.95 juta.
“Kekuatan kita terletak pada perpaduan. Jika kita bersatu, tiada siapa mampu menggugat kita.
“Kerajaan tidak akan berpeluk tubuh ketika rakyat berdepan kesukaran. Kita mesti hadir sebagai pembela,” katanya.-SAHIH.
