Lelaki hilang di Ladang Damai ditemui selamat selepas operasi SAR
Lelaki hilang di Ladang Damai ditemui selamat selepas operasi SAR
JERANTUT – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan Ladang Damai, Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini ditemui selamat pada malam Rabu selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak petang hari sama.
Mangsa, Tengku Ahmad Atif bin Tengku Nazuen, 29, dilaporkan hilang pada 21 April kira-kira jam 8 malam selepas bertindak turun dari sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mangsa dilaporkan telah ditemui oleh pekerja ladang berhampiran pintu pagar berpalang di kawasan berkenaan sebelum dihantar pulang ke rumahnya dengan selamat.
Menurut sumber Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, sebelum kejadian, mangsa dikatakan ditemui oleh rakan sekerjanya ketika sedang menolak motosikal di kawasan ladang berkenaan sebelum dibawa pulang menaiki sebuah kenderaan jens pacuan empat roda.
Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang, mangsa yang berada dalam keadaan kurang bercakap secara tiba-tiba bertindak turun dari kenderaan tersebut dan melarikan diri ke arah kawasan gelap, menyebabkan usaha mengesannya gagal dilakukan pada waktu itu.
Susulan kejadian, isteri mangsa, Nursyuhada Azahari yang menyedari suaminya tidak pulang ke rumah telah mendapatkan bantuan rakan sekerja sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Operasi SAR kemudian digerakkan pada 22 April kira-kira jam 3 petang melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, APM serta pertubuhan bukan kerajaan Panthera, selain dibantu pekerja ladang dan penduduk setempat.
Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah dibuka di Dewan Masjid Kampung Kuala Sat bagi menyelaras operasi pencarian yang turut menggunakan Unit K9.
Operasi yang melibatkan seramai 16 anggota daripada agensi keselamatan dan lebih 30 orang awam itu terpaksa ditangguhkan pada jam 7 malam berikutan keadaan gelap dan faktor keselamatan.
Bagaimanapun, kira-kira jam 8.15 malam, mangsa dilaporkan telah ditemui oleh pekerja ladang berhampiran pintu pagar berpalang di kawasan berkenaan sebelum dihantar pulang ke rumahnya dengan selamat.
Kejadian berakhir tanpa sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi SAR ditamatkan sejurus mangsa ditemui.-SAHIH.
