UMNO perlu calon “Boleh Menang”, bukan sekadar muda – Razak Daud
UMNO perlu calon “Boleh Menang”, bukan sekadar muda – Razak Daud
JERANTUT – Naratif dalaman UMNO dilihat semakin beralih menjelang pilihan raya akan datang apabila penekanan kini bukan lagi tertumpu kepada faktor usia atau kelulusan semata-mata, sebaliknya kepada kebolehan calon untuk memenangi hati pengundi.
Pemerhatian ini susulan pandangan aktivis parti yang menegaskan bahawa kriteria utama pemilihan calon perlu berasaskan “winnability” atau keupayaan sebenar untuk menang, termasuk kekuatan pengaruh di peringkat akar umbi, imej bersih serta kehadiran aktif dalam komuniti.
Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, pendekatan ini mencerminkan realiti politik semasa, di mana pengundi dilihat lebih cenderung menilai hubungan langsung calon dengan masyarakat berbanding profil akademik atau faktor usia semata-mata.
Dalam masa sama, seruan agar calon dikenal pasti lebih awal turut dilihat sebagai isyarat kepada kepimpinan Barisan Nasional supaya memperbaiki strategi pemilihan, termasuk mengelakkan amalan pengumuman calon di saat akhir atau pemilihan berasaskan jaringan dalaman semata-mata.
”Isu pemilihan calon turut dikaitkan dengan penolakan terhadap politik kronisme, yang dianggap boleh menjejaskan peluang parti sekiranya calon yang diketengahkan tidak mendapat penerimaan pengundi. Sentimen ini dilihat signifikan khususnya di kawasan luar bandar seperti Jerantut, di mana faktor keaslian dan kedekatan calon dengan rakyat menjadi penentu utama.
”Walaupun terdapat kritikan terhadap proses pemilihan, penekanan terhadap perpaduan parti selepas calon diputuskan tetap menjadi keutamaan, ini melihat perkara ini sebagai usaha mengimbangi antara keperluan reformasi dalaman dan kepentingan mengekalkan kekuatan jentera parti,” katanya.
Katanya, dalam konteks persaingan pilihan raya, keyakinan untuk merampas semula kerusi Parlimen dan DUN di Jerantut disifatkan sebagai gabungan antara strategi dan retorik mobilisasi. Namun, pencapaian tersebut bergantung kepada beberapa faktor utama termasuk kekuatan lawan, isu nasional serta tahap penerimaan calon tempatan.
Secara keseluruhan, perkembangan ini mencerminkan desakan akar umbi supaya UMNO melakukan penyesuaian dalam strategi pemilihan calon. Kegagalan menangani isu ini berpotensi menjadi liabiliti besar kepada parti, walaupun memiliki jentera yang kukuh.-SAHIH.
