Perubahan arah angin dijangka kurangkan jerebu di Malaysia
Perubahan arah angin dijangka kurangkan jerebu di Malaysia
KUALA LUMPUR: Masalah jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak dijangka berkurangan susulan perubahan luruan angin ke arah Lautan Hindi dalam tempoh dua minggu akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu berdasarkan jangkaan yang dimaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Katanya, perubahan arah angin berkenaan diharap dapat membantu mengurangkan kesan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Indonesia berkemungkinan tidak memerlukan bantuan yang ditawarkan Malaysia bagi operasi memadamkan kebakaran berkenaan.
Menurutnya, negara jiran itu sudah mengerahkan sejumlah besar anggota bersama kelengkapan dan aset bagi menangani kebakaran yang menyebabkan pencemaran udara rentas sempadan.
“Malaysia telah menawarkan sedikit bantuan, tetapi pihak Indonesia sendiri telah mengerahkan melebihi 19,000 anggota.
“Saya tidak fikir mereka akan memerlukan bantuan dari Malaysia kerana mereka sendiri mempunyai anggota yang ramai dan peralatan yang boleh membantu menyelesaikan kebakaran itu,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini berada di China bagi lawatan kerja selama lima hari meliputi Beijing dan Tianjin bermula Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi menyatakan kesediaan Malaysia menghulurkan bantuan untuk menangani kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, tawaran bantuan Malaysia sebelum ini membabitkan sebuah pesawat pemadam kebakaran, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota.
Bagaimanapun, dengan kekuatan anggota dan aset yang sudah digerakkan Indonesia, beliau berpandangan negara berkenaan mempunyai keupayaan untuk melaksanakan operasi pemadaman kebakaran tanpa memerlukan bantuan tambahan daripada Malaysia.
Perubahan luruan angin yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat turut memberi harapan kepada Malaysia untuk mengurangkan kesan pencemaran udara akibat jerebu rentas sempadan.-SAHIH
#Jerebu #AhmadZahidHamidi #MetMalaysia #KebakaranHutan
