Malaysia, China perhebat usaha banteras sindiket penipuan siber
Malaysia, China perhebat usaha banteras sindiket penipuan siber
BEIJING: Malaysia mahu memperkukuh kerjasama dengan China bagi membanteras kegiatan penipuan siber termasuk mempergiat siasatan rentas sempadan dan mendapatkan semula aset yang dicuri melalui aktiviti jenayah berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara amat penting dalam menghadapi ancaman jenayah rentas negara yang semakin mencabar.
Katanya, usaha itu juga mampu memberikan impak praktikal kepada perkongsian strategik komprehensif Malaysia-China, khususnya dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.
“Untuk penipuan siber, kita menghadapi beberapa kekangan kerana ia bukan hanya melibatkan rakyat China yang menjadi mangsa kepada penipuan siber ini.
“Kerjasama dua hala antara kedua-dua negara kita cukup penting,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika mengadakan sidang media sempena lawatan kerja lima hari ke China meliputi Beijing dan Tianjin yang bermula Isnin lalu.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan China turut memperkukuh perkongsian perisikan selain menyelaraskan siasatan serta operasi penguatkuasaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan.
Menurutnya, kedua-dua negara sudah menubuhkan jawatankuasa keselamatan bersama yang turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras penyeludupan narkotik.
“Bukan hanya berkongsi maklumat dan melaksanakan penguatkuasaan tetapi menggunakan kaedah baharu untuk mendapatkan maklumat awal mengenai operasi penyeludupan dadah serta kewujudan kemudahan memproses bahan menjadi dadah,” katanya.
Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengadakan beberapa siri perbincangan dengan rakan sejawatannya dari China berhubung kerjasama keselamatan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah menyertai program bersama di bawah Pakatan Antarabangsa bagi Membanteras Penipuan Telekomunikasi dan Siber pada 10 September lalu.
Penyertaan itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani jenayah penipuan siber yang merentasi sempadan negara.-SAHIH
#AhmadZahidHamidi #MalaysiaChina #PenipuanSiber #JenayahRentasSempadan
