Penebar roti canai didakwa bunuh anak saudara berusia lima tahun
Penebar roti canai didakwa bunuh anak saudara berusia lima tahun
Kota Tinggi: Seorang penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Isnin, atas pertuduhan membunuh anak saudara perempuannya berusia lima tahun di Kampung Padang, Tanjung Sedili, minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Abadi Mohd Yasro selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Najihah Hamidi kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa membunuh Putri Nur Affiya Qhalhesya Shahrul, 5, kira-kira 8.20 pagi, 21 September lalu di sebuah sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nuraini Mohd Shapee yang memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru kerana disyaki mengalami masalah kesihatan mental.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 November depan bagi pemeriksaan di Hospital Permai serta mendapatkan laporan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak perempuan berkenaan ditemukan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, suspek dipercayai mencampak mangsa ke sungai sebelum mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun menggunakan parang.
Polis menerima laporan kejadian kira-kira 9.30 pagi dan sejurus tiba di lokasi, berlaku pergelutan antara anggota polis dengan suspek sehingga menyebabkan seorang anggota cedera.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: bunuh kanak-kanak, Kota Tinggi, Tanjung Sedili, Seksyen 302
