Ibu Zayn Rayyan kekal dipenjara lima tahun
Ibu Zayn Rayyan kekal dipenjara lima tahun
Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira Abdul Manaf atas kesalahan mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada Disember 2023.
Hakim Noor Hisham Ismail membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ismanira, 31, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.
Ketika membacakan penghakiman ringkas, Noor Hisham berkata, Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kekhilafan fakta atau undang-undang dalam membuat keputusan berkenaan.
Menurutnya, pertuduhan terhadap Ismanira menyatakan dengan jelas setiap elemen kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 termasuk cara pengabaian dilakukan, sekali gus tidak menyebabkan kegagalan keadilan terhadap perayu.
Mahkamah pada masa sama menolak rayuan silang pihak pendakwaan yang memohon hukuman lebih berat terhadap Ismanira selepas berpendapat hukuman penjara lima tahun itu memadai dan tidak berlebihan.
Dalam petisyen rayuannya, pihak pembelaan berhujah Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila membuat kesimpulan bahawa kecederaan dialami Zayn Rayyan selepas kehilangannya berpunca daripada tindakan Ismanira membenarkan kanak-kanak autistik itu berjalan di belakangnya.
Pihak pendakwaan pula mempertahankan sabitan berkenaan namun memohon hukuman lebih tinggi atas alasan ia perlu memberi kesan pencegahan terhadap kesalahan sama.
Selain hukuman penjara, Ismanira turut diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas selesai menjalani hukuman.
Kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, Mahkamah Tinggi, pengabaian
