Polis Sabah akan nasihat konsert Israel Houghton ditangguh
Polis Sabah akan nasihat konsert Israel Houghton ditangguh
Kota Kinabalu: Polis Sabah akan menasihati kerajaan negeri supaya penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Israel Houghton ditangguhkan buat masa ini sekiranya permohonan rasmi acara berkenaan dikemukakan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pendirian itu mengambil kira reaksi orang ramai serta sensitiviti masyarakat berhubung penganjuran konsert terbabit ketika ini.
Menurutnya, polis setakat ini menerima dua laporan berkaitan acara berkenaan dan akan terus melakukan pemantauan termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan.
“Mereka menyatakan bahawa konsert ini seharusnya tidak diadakan kerana mengambil kira yang pertama sekali mungkin salah satu kekeliruan nama di sini dan yang kedua sokongan dia sendiri yang agak menyokong pihak Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Isnin.
Jauteh berkata, kerajaan negeri difahamkan masih belum menerima permohonan rasmi daripada pihak penganjur walaupun maklumat berkaitan acara termasuk tarikh, lokasi dan harga tiket sudah dipromosikan.
Katanya, acara itu dikatakan dijadualkan berlangsung antara 22 hingga 25 Oktober di beberapa lokasi di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada jelajah antarabangsa penyanyi berkenaan.
Houghton ialah penyanyi, penulis lagu dan pemuzik gospel serta Kristian kontemporari dari Amerika Syarikat yang turut dikenali menerusi kumpulan Israel & New Breed.
Beliau sebelum ini dilaporkan menyatakan sokongan terhadap Israel menerusi hantaran di Instagram pada 8 Oktober 2023.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Israel Houghton, Polis Sabah, konsert, Kota Kinabalu
