MIC BELUM BUAT KEPUTUSAN DENGAN BERSATU
MIC BELUM BUAT KEPUTUSAN DENGAN BERSATU
KLANG: Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata, parti itu masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahan atau menamatkan kerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun katanya, sekiranya MIC bertindak untuk mengikuti jejak Umno, untuk memutuskan hubungan tersebut, parti itu perlu bersiap sedia menghadapi kesukaran pada pilihan raya umum (PRU) kelak, lapor Malaysiakini.
Ini kerana katanya, MIC setakat ini belum ada pengalaman untuk bertanding dalam PRU sebagai pembangkang.
“Keputusan ini cukup penting kerana kita akan jadi pembangkang dan berkemungkinan tiada akses untuk berkempen dalam dewan.
“Sejujurnya MIC tiada pengalaman (bertanding sebagai) pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Tahunan Wanita Pemuda dan Puteri MIC Kebangsaan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Terdahulu, Perhimpunan Agung Umno (PAU) memberikan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan majlis tertinggi parti itu untuk menentukan tarikh untuk menarik diri daripada kerajaan PN.
Umno sebelum ini menyatakan parti itu akan kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.
Sementara itu, Saravanan yang juga menteri sumber manusia menambah, MIC perlu menyertai PRU dengan mengutamakan kehendak rakyat, selain ahli parti sendiri.
“Kalau kita ikut aspirasi ahli parti saja, kita tak akan menang, dalam PRU 2018, kita ikut aspirasi ahli akar umbi tetapi aspirasi rakyat berbeza, sebab itu kita kalah.
“Saranan saya kepada semua pemimpin, jangan hanya mengambil kira aspirasi ahli parti walaupun itu penting. Sekiranya kita nak bertanding dalam pilihan raya, saya percaya kita patut ambil kira aspirasi rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.