MADANI FELLOWSHIP GILAP PEMIMPIN MASA DEPAN NEGARA
MADANI FELLOWSHIP GILAP PEMIMPIN MASA DEPAN NEGARA
PUTRAJAYA: Program MADANI Fellowship 2026 diharap mampu melahirkan barisan pemimpin muda berkualiti yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, program berkenaan menjadi platform penting dalam mencungkil bakat serta memberi pendedahan awal kepada anak muda mengenai pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, peserta bukan sahaja diberi peluang memahami perjalanan sesebuah organisasi, malah dapat melihat secara langsung bagaimana kementerian dan keseluruhan pentadbiran negara diuruskan.
“Sudah pasti kita inginkan anak-anak muda hari ini mampu mentadbir masa depan negara dan mendapat pendedahan awal bagaimana untuk mentadbir bukan sahaja sesebuah organisasi, tetapi juga kementerian serta pentadbiran negara secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Program MADANI Fellowship 2026, di sini.
Mohammed Taufiq berkata, semua peserta perlu menggunakan ruang, masa dan peluang yang diberikan sepanjang program berkenaan untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman.
Katanya, pengalaman itu kemudiannya perlu diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Program MADANI Fellowship turut memberi penekanan kepada pembangunan generasi muda yang bukan sahaja berkualiti dari segi intelektual, malah mempunyai jati diri, kekuatan mental dan sahsiah.
Seramai 76 peserta terpilih menyertai program selama empat bulan itu dan akan ditempatkan di 27 kementerian, empat jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri serta Pejabat Ketua Setiausaha Negara.
Acara penyerahan peserta disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan menteri Kabinet.
MADANI Fellowship adalah program pembangunan kepimpinan belia berkonsepkan mentor-menti bersama barisan kepimpinan negara bagi memberi pendedahan langsung mengenai dasar serta tadbir urus kerajaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: MADANI Fellowship, Mohammed Taufiq, belia, kepimpinan
