NEGARA PERLUKAN GENERASI MUDA BERILMU, BERSEMANGAT – ANWAR
NEGARA PERLUKAN GENERASI MUDA BERILMU, BERSEMANGAT – ANWAR
PUTRAJAYA: Negara memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan semangat, kefahaman dan ilmu bagi menggalas tanggungjawab besar dalam memacu pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bakat serta kepimpinan golongan muda amat penting dalam menghadapi cabaran dan dinamika pentadbiran negara yang semakin kompleks.
Katanya, pendedahan secara langsung kepada persekitaran pentadbiran kerajaan dapat memberi kefahaman lebih menyeluruh mengenai landskap tadbir urus negara yang membabitkan masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, wilayah dan latar belakang.
“Negara memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan, semangat, kefahaman dan ilmu untuk melaksanakan tugas yang sangat besar.
“Bila berada di sini, kita akan lihat bagaimana rencam dan rumit permasalahan yang dihadapi, membabitkan pelbagai kaum, agama, wilayah serta kelompok yang menuntut sebaik mungkin daripada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Program MADANI Fellowship 2026, di sini.
Anwar berkata, peserta perlu menggunakan peluang sepanjang program itu untuk menguasai ilmu dan memahami sesuatu isu secara menyeluruh, bukan sekadar tertumpu kepada kementerian tempat mereka ditugaskan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pelaksanaan program berkenaan ditambah baik dengan memberi ruang kepada peserta mempelajari fungsi dan skop tugas kementerian lain.
Ia bagi membolehkan mereka memahami keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan serta hubungan antara kementerian dan agensi dalam melaksanakan dasar negara.
Seramai 76 belia berusia antara 23 hingga 29 tahun terpilih menyertai program selama empat bulan itu dengan penempatan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
MADANI Fellowship adalah program pembangunan kepimpinan belia berkonsepkan mentor-menti bersama kepimpinan negara bagi memberi pendedahan secara langsung terhadap aspek dasar serta tadbir urus kerajaan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, MADANI Fellowship, belia, kepimpinan
