JEMAAH MENTERI DOAKAN KESIHATAN TUN DR MAHATHIR
JEMAAH MENTERI DOAKAN KESIHATAN TUN DR MAHATHIR
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara (IJN).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seluruh Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga susulan pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
“Allahyarham merupakan seorang tokoh wanita dan negarawan yang amat dihormati.
“Jemaah Menteri turut mendoakan kesihatan Dr Mahathir yang kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini.
Sebelum ini, anak Dr Mahathir, Tan Sri Mokhzani Mahathir memaklumkan bapanya dimasukkan ke IJN sejak 29 September untuk menjalani pemerhatian.
Menurut Mokhzani, keadaan bapanya ketika ini baik dan tidak membimbangkan.
Katanya, keputusan memasukkan Dr Mahathir ke IJN dibuat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu diberikan perhatian dan pemantauan selepas melalui tempoh sukar susulan pemergian isterinya.
Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi 28 September lalu.
Allahyarham kemudian dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari sama dengan Istiadat Pengebumian Negara.
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka.-SAHIH
#kw: Tun Mahathir, Siti Hasmah, Fahmi Fadzil, IJN
