Kritik Perdana Menteri bukan jenayah, mahasiswa berhak bersuara – Anwar
Kritik Perdana Menteri bukan jenayah, mahasiswa berhak bersuara – Anwar
KUALA LUMPUR: Mahasiswa tidak sepatutnya berdepan tindakan pendakwaan hanya kerana mengkritik dasar kerajaan, termasuk menyuarakan pandangan yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan bersuara perlu diberikan kepada golongan muda supaya mereka mampu berfikir secara kritis dan memainkan peranan sebagai pemimpin masa kini.
Katanya, kerajaan komited memansuhkan peruntukan bersifat mengongkong dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memastikan mahasiswa mempunyai ruang menyuarakan pandangan.
“Tiada sesiapa akan didakwa hanya kerana idea atau kritikan mereka, termasuk jika pemimpin mahasiswa memilih untuk mengkritik Perdana Menteri.
“Itu bukan satu jenayah. Anda perlu mempertahankan pendirian masing-masing, tetapi mengkritik dasar kerajaan bukan satu jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE 2026) kali ketiga di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Anwar berkata, golongan muda tidak seharusnya hanya dianggap sebagai pemimpin masa depan kerana mereka sebenarnya sudah mempunyai tanggungjawab membentuk masyarakat hari ini.
“Mengapa kita bercakap mengenai pemimpin masa depan? Apa yang membuatkan anda beranggapan golongan muda bukan pemimpin pada masa ini?” katanya.
Mengimbau pengalaman sebagai aktivis mahasiswa, beliau berkata, golongan muda perlu berani memperjuangkan usaha menentang rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan dalam sistem.
Menurutnya, kepimpinan sebenar bukan hanya bersandarkan pencapaian akademik, sebaliknya memerlukan nilai moral, empati dan kepekaan terhadap masyarakat.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak bersikap angkuh dengan ilmu yang dimiliki.
iFUTURE 2026 bertemakan ‘Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership’ berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu menghimpunkan 1,231 pemimpin mahasiswa.
Jumlah itu membabitkan 813 peserta Malaysia dan 418 delegasi antarabangsa dari 60 negara bagi memperkukuh jaringan kepimpinan mahasiswa di peringkat antarabangsa.-SAHIH
#AnwarIbrahim #Mahasiswa #AUKU #iFUTURE2026
