Industri tuna bernilai RM980 juta, kerajaan sasar 70 vesel menjelang 2030
Industri tuna bernilai RM980 juta, kerajaan sasar 70 vesel menjelang 2030
BUTTERWORTH: Industri perikanan tuna negara terus menunjukkan potensi besar apabila mencatatkan nilai pendaratan hampir RM1 bilion tahun lalu, sekali gus mendorong kerajaan memperluas operasi penangkapan ikan berkenaan di Lautan Hindi.
Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan Jabatan Perikanan, Ruzaidi Mamat berkata, sebanyak 97,240 tan metrik tuna dan spesies seakan-akan tuna bernilai RM980 juta didaratkan di Malaysia sepanjang 2025.
Katanya, kerajaan menyasarkan 70 vesel penangkapan tuna Zon C3 dilesenkan menjelang 2030 menerusi Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030.
“Industri perikanan tuna yang dikategorikan sebagai ikan bernilai tinggi kini menjadi fokus utama untuk dibangunkan bagi meningkatkan pengeluaran ikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Vesel Pengangkut Tuna Zon C3 Kha Yang 666 di Dermaga Dalam, di sini, Ahad lalu.
Ruzaidi berkata, sebanyak 36 vesel tuna Zon C3 sudah dilesenkan setakat ini, manakala Jabatan Perikanan menetapkan sasaran pendaratan sebanyak 92,000 tan metrik bagi tahun ini.
Menurutnya, sasaran itu dijangka meningkat kepada 150,000 tan metrik menjelang 2030 sejajar usaha memperkukuh industri perikanan negara.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kha Yang Marine Sdn Bhd yang terbabit dalam industri tuna sejak 2010 kini memiliki 14 vesel penangkapan dan dua vesel pengangkut tuna Zon C3.
Katanya, kapal Kha Yang 666 merupakan vesel pengangkut tuna kedua milik syarikat itu yang didaftarkan di bawah bendera Malaysia dengan kapasiti muatan sehingga 1,700 tan.
“Pertambahan vesel pengangkut tuna dijangka meningkatkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap hasil perikanan Malaysia, selain memperkukuh daya saing industri tanpa menjejaskan ekosistem marin,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kha Yang Marine, Ooi Wee Seong berkata, Kha Yang 666 sepanjang 78.72 meter dengan berat kasar 1,887 tan merupakan vesel pengangkut tuna khusus terbesar didaftarkan di Malaysia.
Katanya, kapal yang mampu menempatkan 30 kru itu bakal memperkukuh rantaian bekalan tuna dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada penduduk tempatan.-SAHIH
#IndustriTuna #JabatanPerikanan #KhaYang666 #PerikananMalaysia
