Kamarudin kekal dalam kepimpinan ICAO bagi penggal 2026-2030
Kamarudin kekal dalam kepimpinan ICAO bagi penggal 2026-2030
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Dato’ Haji Kamarudin Ismail terus diberi kepercayaan di peringkat antarabangsa apabila dilantik semula sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCOM) International Cooperative Agricultural Organisation (ICAO) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Agung ICAO yang berlangsung di Panama City, Panama pada 14 September lalu.
Kamarudin yang juga Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) sebelum ini terbabit secara aktif dalam gerakan koperasi di peringkat antarabangsa, sekali gus membawa suara serta kepentingan sektor koperasi Malaysia ke pentas global.
Pelantikan semula beliau dalam barisan EXCOM ICAO mencerminkan keyakinan organisasi berkenaan terhadap pengalaman dan sumbangannya dalam memperkukuh gerakan koperasi khususnya yang berkaitan sektor pertanian.
Ia juga dilihat mampu membuka ruang lebih luas kepada ANGKASA serta gerakan koperasi negara untuk memperkukuh jaringan kerjasama dengan organisasi koperasi antarabangsa, selain berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam membangunkan sektor berkenaan.
Pada masa sama, kedudukan tersebut membolehkan Malaysia terus memainkan peranan dalam perbincangan serta penetapan hala tuju pembangunan koperasi pertanian di peringkat antarabangsa.
Kejayaan Kamarudin mengekalkan kedudukan dalam kepimpinan ICAO bagi tempoh empat tahun lagi turut menjadi pengiktirafan terhadap penglibatan aktif pemimpin koperasi Malaysia dalam organisasi koperasi dunia.
Pelantikan berkenaan juga menjadi satu lagi pencapaian penting buat ANGKASA dalam memperluas pengaruh dan hubungan strategik gerakan koperasi negara di peringkat global.-SAHIH
#kw Kamarudin Ismail, ANGKASA, ICAO, koperasi antarabangsa
