Abdul Fattah bawa cabaran Malaysia rebut kerusi Lembaga ICA
Abdul Fattah bawa cabaran Malaysia rebut kerusi Lembaga ICA
KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan usaha mengekalkan suara dalam barisan kepimpinan tertinggi gerakan koperasi dunia apabila Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bertanding dalam pemilihan Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pemilihan yang berlangsung pada 15 September itu menyaksikan Abdul Fattah berdepan saingan 23 calon lain dari seluruh dunia bagi merebut 15 kerusi Ahli Lembaga ICA.
Pencalonan Abdul Fattah dilihat penting dalam usaha memastikan Malaysia terus mempunyai wakil dalam barisan kepimpinan tertinggi ICA, sekali gus meneruskan kesinambungan penglibatan negara dalam badan koperasi antarabangsa berkenaan.
Bagi penggal 2022 hingga 2026, kerusi Ahli Lembaga ICA mewakili Malaysia disandang Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Justeru, pencalonan Abdul Fattah bagi penggal baharu menjadi kesinambungan kepada peranan yang dimainkan ANGKASA dalam memperkukuh hubungan serta membawa suara gerakan koperasi Malaysia ke pentas global.
Penyertaan beliau turut memberi peluang kepada Malaysia untuk terus memainkan peranan dalam perbincangan dan hala tuju pembangunan sektor koperasi di peringkat antarabangsa khususnya membabitkan jaringan, kerjasama strategik serta kepentingan anggota koperasi.
ICA merupakan badan yang menghimpunkan gerakan koperasi dari pelbagai negara dan pemilihan Ahli Lembaganya menjadi platform penting dalam menentukan barisan kepimpinan badan berkenaan bagi tempoh empat tahun.
Pemilihan kali ini menyaksikan hanya 15 daripada keseluruhan 24 calon akan dipilih untuk menganggotai Ahli Lembaga ICA bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pencalonan Abdul Fattah sekali gus membawa cabaran Malaysia untuk terus berada dalam kelompok kepimpinan koperasi dunia selepas penglibatan Kamarudin sepanjang penggal sebelumnya.-SAHIH
#kw Abdul Fattah, ANGKASA, ICA, koperasi dunia
