ENAM RUMAH ROSAK DIBADAI RIBUT DI KAMPUNG BAPONG, LIPIS
ENAM RUMAH ROSAK DIBADAI RIBUT DI KAMPUNG BAPONG, LIPIS
LIPIS : Sebanyak enam buah rumah rosak teruk di bahagian bumbung dan atap akibat berlakunya ribut di Kampung Bapong, Lipis pada jam 5.30 petang hari ini.
Dalam kejadian itu turut disusuli hujan lebat serta menumbangkan pokok buah-buahan, tetapi tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa penduduk di situ.
Mangsa ribut, Kamaruddin Mohamad, 60, berkata, ketika kejadian itu dia sedang berehat di ruang tamu selepas pulang bekerja sebagai pemandu lori di bandar Kuala Lipis.
“Ketika sampai di rumah hujan mula turun lebat dan disusuli angin bertiup kencang,tetapi tidaklah menyangka bertukar menjadi ribut kuat setelah saya mula duduk berehat di ruang tamu.
“Tidak berapa lama angin bertambah kuat disertai hujan lebat dan nampak dahan dan daun pokok di sekeliling rumah bergoyang dan suasana ini kemudian bertukar menjadi ribut dan kami sekeluarga agak cemas,” katanya di Kampung Bapong dekat sini hari ini.
Menurut Kamaruddin, keadaan ribut yang mengganas itu menyebabkan bunyi bising dengan gegaran bumbung dan atap rumahnya serta mula nampak beberapa keping melayang jatuh dibadai ribut.
“Dalam keadaan kelam kabut ini, saya memanggil isteri dan anak berkumpul di ruang tamu, tiba-tiba keseluruhan bumbung dan atap di ruang dapur dan bilik tercabut dan diterbangkan ribut.
“Selepas itu keadaan ruang dapur dan tengah rumah basah dengan air hujan termasuk peralatan dapur dan perabot. Kami hanya mampu mengucap serta berdiam diri sambil melihat rumah jiran juga mengalami nasib yang sama,” katanya.
Kamaruddin berkata, dia bersyukur kerana ahli keluarga termasuk jirannya tidak mengalami kecederaan dan kemalangan jiwa dalam kejadian itu.-SAHIH.