Deklarasi Panama sasar gandakan ekonomi koperasi dunia menjelang 2035
Deklarasi Panama sasar gandakan ekonomi koperasi dunia menjelang 2035
PANAMA CITY: Gerakan koperasi dunia menetapkan aspirasi besar untuk menggandakan saiz ekonomi koperasi menjelang 2035 menerusi Deklarasi Panama yang diterima secara rasmi pada penutup Global Cooperative Conference 2026 di Panama Convention Centre, Panama.
Deklarasi bertemakan “Building Bridges: Cooperative Contributions for a Peaceful World” itu merumuskan komitmen gerakan koperasi antarabangsa dalam memperkukuh keamanan, keadilan, demokrasi, keterangkuman dan kemakmuran bersama.
Ia turut menegaskan bahawa keamanan bukan sekadar ketiadaan konflik, sebaliknya perlu dibina melalui keadilan, peluang ekonomi, penyertaan bermakna, institusi yang dipercayai serta komuniti berdaya tahan.
Dalam konteks itu, koperasi dilihat mampu menyumbang kepada pembentukan “peace economy” menerusi penciptaan pekerjaan, peluang pendapatan, pemerkasaan ekonomi, keadilan sosial dan pengukuhan ekonomi tempatan.
Deklarasi berkenaan turut menggariskan Aspirasi 2035 untuk menggandakan saiz ekonomi koperasi dunia sambil memperluas impak ekonomi, sosial dan alam sekitar kepada masyarakat.
Pada masa sama, pelaksanaan Strategi International Cooperative Alliance (ICA) 2026–2030 akan berteraskan tiga tonggak utama iaitu Practice, Promote dan Protect.
Antara fokus utama termasuk pengukuhan tadbir urus demokratik dan inklusif, komunikasi strategik, advokasi, perlindungan identiti koperasi, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan secara bertanggungjawab serta peningkatan penyertaan wanita dan belia.
Persidangan hari terakhir turut menampilkan sesi khas Presiden ICA, Dr Ariel Guarco serta perbincangan mengenai peranan koperasi, komuniti dan kepimpinan dalam membina keamanan.
Program berkenaan turut menyaksikan pelancaran buku terbaharu Guarco, “Cooperatives in Action II”, selain sesi simbolik “Folding Peace Together” menerusi aktiviti melipat origami burung merpati keamanan.
Deklarasi Panama turut menyeru koperasi memperkukuh kerjasama dengan kerajaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, masyarakat sivil dan institusi pembangunan dalam bidang pencegahan konflik, pemulihan pascakonflik, jaminan makanan serta pembangunan ekonomi tempatan.
Penutupan persidangan turut menandakan berakhirnya misi delegasi koperasi Malaysia yang diketuai Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.-SAHIH
#kw Deklarasi Panama, ICA, ANGKASA, koperasi
