Perumahan koperasi mampu jadi pilihan miliki rumah
Perumahan koperasi mampu jadi pilihan miliki rumah
PANAMA : Model perumahan koperasi berpotensi diperluas sebagai antara alternatif membantu rakyat memiliki rumah mampu milik, terutama menerusi pendekatan pembiayaan dan pemilikan yang lebih fleksibel.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Cooperative Housing International (CHI), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, sektor perumahan koperasi di Malaysia mempunyai ruang besar untuk berkembang, namun beberapa cabaran perlu ditangani secara menyeluruh.
Antaranya membabitkan akses kepada tanah, keperluan modal yang tinggi, kepakaran profesional dalam pembangunan projek, tadbir urus serta usaha memastikan koperasi perumahan kekal berorientasikan manfaat anggota.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Cooperative Housing in Malaysia: Challenges, Opportunities and Approaches” pada sesi “Growing Cooperative Housing: Connecting Practice, Communities & Cooperation” di Panama Convention Centre, Panama, pada 17 September lalu.
Sesi itu berlangsung bersempena International Cooperative Alliance (ICA) Global Conference and Assemblies 2026.
Mohamad Ali turut mengetengahkan beberapa pendekatan alternatif termasuk model pemilikan mampu milik koperasi, perumahan sewa koperasi, rent-to-own, community land trust dan perumahan koperasi pekerja.
Selain itu, model perumahan koperasi Islam turut dibincangkan menerusi instrumen seperti Musharakah Mutanaqisah, Ijarah, Murabahah, takaful koperasi dan penggunaan tanah wakaf.
Beliau turut membentangkan cadangan National Cooperative Housing Blueprint for Malaysia 2026–2035 yang memberi penekanan kepada enam tonggak iaitu tanah, modal, pembangunan profesional, kemampuan memiliki rumah, pembangunan komuniti dan pendigitalan.
Menurutnya, kerangka itu bertujuan membentuk ekosistem perumahan koperasi yang lebih tersusun, berskala dan mampan.
Dalam pembentangan sama, beliau turut berkongsi pendekatan ANGKASA melalui MyANGKASA Bina Sdn Bhd yang melaksanakan beberapa model pembangunan dan pembiayaan termasuk MyVilla, pembangunan hartanah serta khidmat pengurusan projek.
Sesi berkenaan turut disertai Menteri Perumahan dan Perancangan Wilayah Panama, Ing. Jaime Jované serta wakil institusi perumahan dan pemimpin koperasi dari beberapa negara.
Terdahulu, Mohamad Ali menyertai Mesyuarat Lembaga CHI yang antara lain membincangkan cadangan penjenamaan semula Cooperative Housing International kepada Cooperative Housing International Limited bagi memperkukuh kedudukan organisasi itu.-SAHIH
#kw perumahan koperasi, ANGKASA, rumah mampu milik, Panama
