‘MAK KAU HIJAU’ SELEPAS RUKUN NEGARA, VIDEO TEATER CETUS KONTROVERSI
‘MAK KAU HIJAU’ SELEPAS RUKUN NEGARA, VIDEO TEATER CETUS KONTROVERSI
KUALA LUMPUR: Rakaman sebuah persembahan teater bertajuk ‘This is Malaysia’ mencetuskan kontroversi selepas tular di media sosial kerana didakwa mempersendakan Rukun Negara selain menyentuh isu sensitif membabitkan kaum dan institusi negara.
Klip pendek persembahan itu memaparkan beberapa pelakon yang dipercayai membawa watak mewakili masyarakat berbilang kaum saling mengeluarkan dialog antaranya meminta individu lain ‘pulang’ ke China, India dan Indonesia sebelum disusuli ungkapan ‘This is Malaysia’.
Apa yang lebih mengundang perhatian ialah babak beberapa pelakon membaca prinsip Rukun Negara satu persatu, namun setiap bacaan disusuli respons berbentuk sindiran dan jenaka.
Pada penghujung babak berkenaan, ungkapan ‘Mak kau hijau!’ turut dilontarkan sehingga disambut gelak tawa penonton.

Rakaman berkenaan turut menunjukkan seorang pelakon lelaki hanya mengenakan pakaian dalam berwarna merah dengan tulisan berwarna merah dan putih pada tubuhnya.
Susulan video itu tular, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera serta menyeluruh terhadap persembahan berkenaan.
Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang termasuk peruntukan berkaitan Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.
Aaron menegaskan Rukun Negara bukan sekadar ikrar yang dibaca ketika majlis rasmi, sebaliknya menjadi ideologi dan falsafah negara serta panduan dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula menggesa pihak penganjur dan individu terbabit memberi penjelasan terbuka serta memohon maaf, selain meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu secara adil mengikut undang-undang.-SAHIH
#kw #Rukun Negara, This is Malaysia, video tular, #PDRM, #MCMC
