Calon muda jadi taruhan, UMNO/BN Fokus Dekati Rakyat Hadapi PRU16
Calon muda jadi taruhan, UMNO/BN Fokus Dekati Rakyat Hadapi PRU16
JERANTUT – Pendekatan menampilkan calon muda yang agresif serta mampu bekerja secara berpasukan dilihat sebagai antara strategi utama UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Aktivis politik, Ahmad Murad Idris berkata, persepsi terhadap wakil lantikan atau “wakil bukan pilihan rakyat” sering dijadikan isu oleh pihak lawan seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS), namun perkara itu perlu dilihat secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, pelantikan wakil sebelum ini termasuk di Sabah membuktikan bahawa kemampuan bekerja dan memberi khidmat kepada rakyat lebih penting berbanding status lantikan semata-mata.
“Orang selalu kata wakil lantikan ini tidak sah atau tidak dipilih rakyat, tetapi kita kena faham peranan dan sumbangan mereka. Ada yang akhirnya diterima dan menang,” katanya.
Beliau berkata, wakil lantikan yang aktif di kawasan seperti DUN Tahan menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan hanya memenangi pilihan raya, tetapi memastikan kehadiran berterusan serta komitmen membantu rakyat.
“Kawasan seperti DUN Tahan luas dan memerlukan sokongan berpasukan. Jika wakil rakyat tidak dapat hadir, ahli jawatankuasa perlu memainkan peranan.
”Selain itu, setiap individu dalam parti perlu mempunyai objektif yang jelas dan bersedia bekerjasama walaupun pernah berbeza pandangan,” katanya.
Murad berkata, dalam politik, mungkin ada parti pernah bertanding sesama sendiri, tetapi selepas itu perlu bersatu. Jika tiada rezeki, kita teruskan kerja untuk parti.
Mengulas strategi kemenangan, beliau menegaskan pendekatan turun padang dan mendekati rakyat, khususnya golongan muda, menjadi fokus utama.
“Kita perlu dekati anak muda kerana ramai dalam kalangan mereka tidak terlalu terikat dengan parti. Jadi, isu mereka perlu diberi perhatian.
”Dalam masa sama, kita turut menyentuh isu pembangunan infrastruktur seperti jalan di kawasan pedalaman termasuk Kampung Gusai yang sering menjadi bahan kritikan terhadap UMNO baru-baru ini,” katanya.-SAHIH.
