Madrasah di Kundasang jana pendapatan melalui kebun sayur
Foto : Madrasah di Kundasang jana pendapatan melalui kebun sayur.
Kundasang yang terkenal dengan iklim tanah tinggi yang sejuk dan nyaman sepanjang tahun memberi kelebihan kepada Madrasah Maahad Tahfiz Bidayatul Hidayah (MTBH) untuk mengusahakan kebun sayur sebagai sumber pendapatan berterusan.
Madrasah yang terletak di lereng bukit di Ranau itu telah membuka kawasan tanaman seluas lebih dua hektar sejak tahun 2021. Pelbagai jenis sayur-sayuran ditanam termasuk tomato, kubis, kacang buncis, sawi, timun ulam dan daun bawang yang subur dalam persekitaran tanah tinggi.

Mustafa Asad melihat timbunan guni baja pokok sayur yang dihantar oleh pembekal.
Pengerusi MTBH, Mustafa Asad, berkata usaha berkebun ini menjadi alternatif penting bagi menampung kos operasi madrasah seperti pembelian bahan makanan, kelengkapan pengajian agama, utiliti serta elaun tenaga pengajar.
Menurut beliau, walaupun pihak madrasah sering mendapatkan sumbangan melalui media sosial dan menerima bantuan daripada pelbagai pihak, usaha untuk berdikari tetap menjadi keutamaan.
“Kami tidak mahu dilihat hanya bergantung kepada sumbangan. Usaha pertanian ini membuktikan kami juga berikhtiar menjana kewangan sendiri,” katanya.
Tambahnya lagi, pelajar MTBH turut memainkan peranan membantu di kebun secara sukarela, terutama ketika waktu lapang. Mereka terlibat dalam aktiviti seperti menyiram tanaman dan memunggah hasil tuaian untuk dihantar kepada peraih serta pemborong di pasar sekitar Kundasang.
Bagi memastikan pengurusan kebun lebih teratur, pihak madrasah turut mendapatkan khidmat penduduk tempatan untuk kerja-kerja seperti menggembur tanah dan membaja tanaman.
”Walaupun pendapatan hasil jualan sayur tidak menentu, MTBH dianggarkan memperoleh sekitar RM1,000 sebulan selepas ditolak kos operasi. Hasil ini sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan bulanan madrasah.
”Selain itu, hasil tuaian yang diperoleh setiap minggu dihantar ke pasar pekan Kundasang, yang bukan sahaja menjadi pusat urus niaga sayur-sayuran, malah tarikan pelancong yang ingin menikmati pemandangan indah Gunung Kinabalu pada waktu pagi,” katanya.
Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada madrasah, malah mendidik pelajar tentang nilai kerja keras, berdikari dan kerjasama dalam kehidupan seharian.-SAHIH.
