Program Korban Kasih Aidiladha buka tempahan, sasar bantu 1,000 asnaf Kelantan
Program Korban Kasih Aidiladha buka tempahan, sasar bantu 1,000 asnaf Kelantan
KUALA KRAI – Orang ramai dipelawa menyertai Program Korban Kasih Aidiladha 1447H/2026 yang kini dibuka untuk tempahan korban, akikah serta sedekah daging termasuk atas nama arwah ibu bapa, diri sendiri atau ahli keluarga.
Pengerusi Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed, berkata program itu memberi fokus kepada bantuan makanan kepada golongan memerlukan khususnya di Kelantan sempena sambutan Aidiladha tahun depan.
Menurutnya, sasaran agihan daging korban kali ini adalah untuk 1,000 penerima membabitkan beberapa daerah termasuk Kuala Krai, Machang dan Kota Bharu.
“Program ini akan dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha hari pertama dan kedua.
“Keutamaan agihan diberikan kepada golongan fakir miskin, asnaf, ibu tunggal, mualaf, pusat tahfiz serta pondok pengajian al-Quran,” katanya ketika dihubungi.
Che Norhayati berkata, tempahan penyertaan dibuka lebih awal bagi memastikan kelancaran urusan korban dan pengagihan kepada penerima yang layak.
Katanya, harga lembu ditawarkan mengikut gred iaitu Gred A RM5,500 seekor atau RM800 satu bahagian, Gred B RM5,000 seekor atau RM720 satu bahagian, manakala Gred C RM4,500 seekor atau RM650 satu bahagian.

Selain itu, orang ramai turut boleh menyumbang melalui infaq daging pada kadar RM30 sekilogram, Sumbangan boleh disalurkan ke akaun :
03072010143853 BANK ISLAM Mahabah Asnaf Society
“Bagi memudahkan urusan penyembelihan dan pengagihan, pembahagian daging korban akan diuruskan oleh NGO CM Asnaf Solution.
“Program ini bukan saja membantu penerima, malah memberi peluang kepada masyarakat membersihkan jiwa melalui ibadah korban,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Baba Md Sabri (017-9080006) atau Umi (011-25466362) untuk pertanyaan serta tempahan.-SAHIH
