BMT dibayar 4 kali kepada pekebun kecil mulai November
BMT dibayar 4 kali kepada pekebun kecil mulai November
Foto atas : Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad di Majlis Penyampaian cek dividen Tanam Semula Komersial daripada Risda Pahang kepada pekebun kecil dan penduduk Orang Asli kepada serta bantuan kepada 30 peserta di bawah Program Hasil Baharu dan Keusahawanan di Lipis, hari ini.
LIPIS – Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil dan penoreh getah Risda di seluruh negara bakal menerima bayaran bantuan tersebut secepat mungkin bagi meringankan beban kesusahan ketika berdepan musim tengkujuh yang bakal mendatang penghujung tahun ini.
Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan sejumlah RM256 juta sudah siap sedia dan hanya akan diberikan kepada pekebun kecil getah termasuk Felda yang mengusahakan tanaman tersebut pada bila-bila masa sepanjang empat bulan tempoh musim tengkujuh nanti.
“Pada pembentangan bajet baru-baru ini, kadar BMT telah dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini kepada 320,000 orang pekebun kecil getah termasuk Felda di seluruh negara yang mula terjejas akibat musim tengkujuh.
“Penoreh getah yang sudah berdaftar di bawah Risda tidak perlu bimbang berkaitan pembayaran BMT ini. Kerajaan ada duit, kita akan mempercepatkan bayaran berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Pahang di Kampung Mela, dekat sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad Turut hadir ; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Mustapha Long dan ADUN Cheka, Lee Ah Wong.
Di majlis tersebut, Mahdzir turut menyampaikan cek dividen Tanam Semula Komersial daripada Risda Pahang kepada pekebun kecil dan penduduk Orang Asli kepada serta bantuan kepada 30 peserta di bawah Program Hasil Baharu dan Keusahawanan di Lipis.
“Kerajaan tahu kesulitan yang dihadapi penoreh getah yang tidak menoreh getah sepanjang musim tengkujuh sejak cuaca tidak menentu kebelakangan ini dengan fenomena monsun timur laut
“Peningkatan BMT dalam bajet 2023, menunjukkan kerajaan mengutamakan kebajikan penoreh getah dan Risda sudah pun mempunyai jumlah pekebun dan penoreh getah yang bakal menerima BMT dalam masa terdekat,” katanya.-SAHIH.