BAPA BAYI TERTUKAR SUDAH BUAT LAPORAN POLIS
BAPA BAYI TERTUKAR SUDAH BUAT LAPORAN POLIS
Shah Alam: Suami kepada usahawan dalam talian, Siti Suriani Wahiddin atau Siti Jamumall sudah membuat laporan polis berhubung kejadian bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi lain, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, suaminya, Mohammad Syafiq Irfan Azman, 23, yang menyedari tanda nama pada kaki bayi itu berbeza dengan nama isterinya.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ada menerima laporan polis pada hari ini mengenai tertukarnya bayi. Kes diklasifikasi sebagai ‘Rujuk Majistret’.
“Laporan dibuat oleh bapa bayi itu pada jam 9 pagi tadi.
“Menurut laporannya, ketika dia hendak gunting tag pada bayi itu, dia menyedari nama ibu pada tag itu bukan nama isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharudin berkata, pihaknya tidak akan memanggil pihak hospital swasta terbabit untuk diambil keterangan.
Bagaimanapun, pihaknya yang membuat semakan dari sudut perundangan sama ada terdapat kesalahan lain.
Terdahulu, media melaporkan kejadian itu dikongsikan sendiri oleh Siti Suriani, 23 melalui Facebook (FB) Live bermula jam 7.40 malam semalam.
Wanita itu dilaporkan berkata, dia melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi Jumaat dan pihak hospital membenarkan dia serta bayinya pulang ke rumah, semalam, lapor HM online.
Bagaimanapun, dia menyedari bayi itu bukan anak mereka ketika suaminya mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu mendapati ia milik wanita lain dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.