AZMIN BERI BAYANGAN LEBIH RAMAI SOKONG PN
AZMIN BERI BAYANGAN LEBIH RAMAI SOKONG PN
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohamed Azmin Ali memberi bayangan lebih ramai pemimpin pembangkang akan menyokong Perikatan Nasional (PN).
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memberi bayangan melalui akaun Twitternya, hari ini, susulan keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu, pagi tadi.
“1+1+1+…… dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang,” kata Mohamed Azmin.
Xavier mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta, serta menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN sebagai Ahli Parlimen Bebas.
MOHAMED AZMIN ALI
Jelasnya, faktor dia berbuat demikian adalah kerana kerajaan ketika ini memerlukan sokongan bipartisan dalam usaha memerangi wabak COVID-19, usaha vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi.
Xavier berkata, beberapa insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, khususnya membabitkan usaha mendesak pilihan raya diadakan segera, menyebabkan beliau kecewa dan nekad meninggalkan satu-satunya parti yang pernah disertai sepanjang kerjaya politiknya, lapor BH Online.
Tegasnya, usaha mendesak pilihan raya diadakan segera bukan keutamaan ketika ini dalam keadaan negara masih berdepan gelombang ketiga COVID-19, sebaliknya menyokong usaha kerajaan mengekang penularan pandemik itu, mencipta peluang pekerjaan dan mendapatkan dana untuk memulihkan ekonomi negara.