ITALI KEMBALI KEPADA PERINTAH SEKATAN
ITALI KEMBALI KEPADA PERINTAH SEKATAN
ROM: Mulai minggu depan, arahan penutupan kemudahan awam di sebahagian besar Itali membabitkan sekolah, restoran, kedai dan muzium akan dikuatkuasakan.
Arahan itu dikeluarkan susulan amaran dibuat Perdana Menteri, Mario Draghi, berhubung gelombang baharu jangkitan COVID-19 di negara berkenaan.
Selepas setahun Itali berjuang sebagai negara Eropah pertama yang terpaksa berdepan dengan penyebaran wabak itu, negara terbabit sekali lagi berdepan detik sukar dengan peningkatan ketara virus berkenaan, lapor AFP.
Kali ini, Itali berdepan dengan penyebaran COVID-19 daripada varian baharu yang mana penularannya lebih tinggi.
Sebilangan besar wilayah termasuk yang paling terjejas iaitu Rom dan Milan, diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi zon merah mulai Isnin ini oleh Menteri Kesihatan, Roberto Speranza.
Penduduk di zon merah diminta untuk kekal berada di rumah kecuali bagi tujuan bekerja, kesihatan dan urusan penting lain.
Menurut pejabat Pejabat Menteri, sekatan tambahan akan berlangsung hingga Hari Easter.
Pada minggu Easter yang berlangsung dari 3 hingga 5 April, keseluruhan Itali akan diklasifikasikan sebagai zon merah.
GAMBAR IHSAN AFP
“Lebih setahun selepas bermulanya keadaan darurat kesihatan, malangnya kita sekali lagi ditimpa gelombang baharu jangkitan.
“Pengalaman yang berlaku pada musim bunga lalu tidak mungkin dilupakan dan kita akan melakukan apa sahaja yang terdaya untuk mengelakkannya daripada berulang kembali,” kata Draghi ketika melawat pusat vaksinasi baharu di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom.
Lebih 100,000 pesakit COVID-19 maut di Itali sejak pandemik itu merosakkan negara ekonomi Eurozone ketiga terbesar tahun lalu yang menyebabkan perintah sekatan berbulan-bulan lamanya terpaksa dilaksanakan.
Draghi berkata, lebih 150,000 kes baharu COVID-19 dilaporkan minggu lalu, lebih tinggi daripada jumlah 131,000 yang direkodkan minggu terdahulu.
Sehingga kini katanya, kira-kira 170,000 vaksin diberikan setiap hari namun sasaran ditetapkan Itali adalah tiga kali ganda lebih pantas berbanding kini.