ATM mula bentuk nukleus Angkatan Siber, sasar beroperasi 2030
ATM mula bentuk nukleus Angkatan Siber, sasar beroperasi 2030
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal melangkah ke fasa baharu pertahanan negara apabila memulakan pembentukan nukleus Angkatan Siber sempena sambutan Hari ATM ke-93, hari ini, sebagai persediaan mewujudkan angkatan keempat menjelang 2030.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, langkah itu adalah kesinambungan kepada penubuhan Cyber Command tahun lalu selaras keperluan membangunkan angkatan masa hadapan dalam domain siber dan peperangan elektromagnetik.
Menurutnya, perkembangan berkenaan penting bagi memastikan ATM tidak ketinggalan dalam membangunkan keupayaan serta struktur pertahanan yang bersesuaian dengan perubahan ancaman semasa.
“Kita tidak terlewat. Seiring dengan angkatan masa hadapan, tahun lepas kita dah tubuhkan Cyber Command. Tapi bukan itu sahaja.
“Ia memerlukan satu anjakan ataupun keputusan untuk kita mengadakan satu lagi domain yang lebih ampuh iaitu Angkatan Siber itu sendiri,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Bernama TV baru-baru ini.
Malek Razak berkata, langkah seterusnya adalah memperkukuh Cyber Command sedia ada sebelum nukleus Angkatan Siber memainkan peranan merancang struktur serta kaedah bagi merealisasikan penubuhan angkatan berkenaan.
Katanya, pelancaran nukleus itu akan dilaksanakan sempena sambutan Hari ATM pada 19 September dengan penglibatan Menteri Pertahanan.
“Insya-Allah pada sambutan Hari ATM nanti, pada 19 haribulan, Menteri Pertahanan akan turun dan kita akan lancarkan nukleus Angkatan Siber.
“Daripada situ nanti, kumpulan nukleus ini akan duduk, merancang dan melihat bagaimana untuk merealisasikan Angkatan Siber ini menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan Angkatan Siber mempunyai keupayaan untuk beroperasi menjelang 2030.
Dalam perkembangan berkaitan, ATM turut meneruskan pembangunan kepakaran dalam bidang Cyber and Electromagnetic Activities (CEMA).
Sehingga Julai 2026, seramai 60 pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah mengikuti kursus berkaitan CEMA sebagai persediaan meningkatkan keupayaan pertahanan dalam domain berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Angkatan Siber, ATM, Cyber Command, CEMA
