Aset lama jangan dibiarkan jadi bangkai ekonomi
Aset lama jangan dibiarkan jadi bangkai ekonomi
KUALA LUMPUR: Bangunan lama dan terbiar tidak seharusnya terus menjadi ‘bangkai’ di tengah bandar apabila pelaburan swasta tempatan mampu menukarkannya kepada aset produktif yang menjana pekerjaan serta menghidupkan ekonomi setempat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembangunan semula Brisdale International Hotel Kuala Lumpur oleh syarikat tempatan membuktikan aset sedia ada masih mempunyai nilai ekonomi sekiranya diberikan nafas baharu menerusi pelaburan terancang.
Menurutnya, keputusan melabur dalam pembangunan semula bangunan lama bukan mudah kerana memerlukan keberanian selain kemampuan usahawan membuat penilaian risiko secara teliti.
Katanya, kerja membangunkan semula bangunan sedia ada juga jauh lebih mencabar berbanding mendirikan bangunan baharu di atas tanah kosong.
Ini kerana pelabur perlu memahami keadaan struktur asal bangunan terlebih dahulu sebelum menentukan skop kerja, kos dan keperluan pemulihan yang perlu dilaksanakan.
Beliau berkata, pembangunan semula Brisdale International Hotel turut memanfaatkan pengalaman dan kepakaran ZIKAY Group sebagai kontraktor dalam menilai kos serta keperluan keseluruhan projek berkenaan.
“Dia menambahkan satu peluang kepada kawasan ini mendapat satu hotel yang telah dibaik pulih dan telah diberi nafas baharu.
“Sudah tentu dia akan memberi banyak manfaat kepada mereka yang datang di kawasan Raja Bot ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan hotel berkenaan, Khamis lalu.
Johari berkata, pembukaan semula hotel itu bukan sahaja menyediakan kemudahan penginapan, malah berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan masyarakat di sekitar kawasan Raja Bot.
Menurutnya, perkembangan industri perhotelan juga mempunyai hubungan langsung dengan sektor pelancongan yang menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.
Katanya, sektor pelancongan menyumbang kira-kira RM300 bilion atau 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, selain menyediakan kira-kira 3.5 juta peluang pekerjaan.
Justeru, katanya, pelaburan domestik dalam projek pembangunan semula seperti itu mempunyai kesan lebih luas apabila bukan sahaja memulihkan aset lama, malah membantu merangsang keseluruhan ekosistem ekonomi di kawasan sekitarnya.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw pelaburan domestik, Brisdale International Hotel, Johari Abdul Ghani, Raja Bot
